fb fb fb fb fb

Israel lanjut tahanan wartawan Nasser Laham

Nasser Laham

RAMALLAH, 8 Julai -Israel telah melanjutkan tempoh penahanan wartawan Palestin, Nasser Laham dengan kesnya dirujuk ke Mahkamah Tentera Ofer Israel hingga Khamis ini, lapor Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin.

Laham yang merupakan seorang wartawan terkemuka, ditahan awal pagi Isnin dalam satu serbuan tentera Israel di kediamannya di bandar Doha, berhampiran Bethlehem.

Dalam serbuan itu, askar-askar Israel turut merosakkan harta benda di rumahnya dan menyebabkan kerosakan besar.

Setakat ini, jumlah wartawan Palestin yang ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan oleh pihak berkuasa Israel meningkat kepada 22 orang, daripada keseluruhan 55 wartawan Palestin yang kini dipenjarakan.

Daripada jumlah itu, seramai 49 orang ditahan sejak bermulanya serangan berterusan Israel di Gaza.

Tentera Israel terus menyasarkan wartawan Palestin, sering kali dengan tuduhan “menghasut” di media sosial, satu alasan yang digunakan sebagai justifikasi untuk mengekang kebebasan bersuara dan kebebasan media.

Wartawan Palestin yang ditahan turut mengalami penderaan sistematik sama seperti tahanan Palestin lain, termasuk penyeksaan, kebuluran, pengabaian rawatan perubatan serta penghinaan dan layanan tidak berperikemanusiaan.-BERNAMA-WAFA

TETITIA YUSOFF