fb fb fb fb fb

WHO masih sarankan kuarantin 14 hari untuk pesakit COVID-19

 

 

FOTO AFP



GENEVA, 5 Januari- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih kekal dengan pendirian mengesyorkan kuarantin 14 hari biarpun kebanyakan pesakit pulih dalam tempoh lima hingga tujuh hari.

Bagaimanapun WHO menegaskan ia masih kekal sebagai cadangan yang boleh diikuti atau sebaliknya.

Menurut Ahli Pasukan Sokongan Pengurusan Insiden COVID-19 WHO, Abdi Mahamud, setiap negara perlu membuat keputusan mengenai tempoh kuarantin berdasarkan situasi masing-masing.

Sebagai contoh, di negara yang mencatat jangkitan rendah, tempoh kuarantin yang lebih lama boleh membantu mengekalkan bilangan kes serendah mungkin.

Sebaliknya di negara yang kes tidak dapat dikawal, tempoh kuarantin lebih singkat mungkin wajar untuk memastikan aktiviti harian negara tidak terjejas.

Sebelum ini WHO mendedahkan, setakat 29 Disember 2021 kira-kira 128 negara telah melaporkan kes baharu melibatkan varian Omicron.

Di Afrika Selatan, yang mencatatkan peningkatan mendadak dalam kes jangkitan diikuti dengan penurunan yang agak cepat, kemasukan ke hospital dan kadar kematian kekal rendah.

Bagaimanapun, situasi sama tidak semestinya berlaku di negara-negara lain, kata Mahamud.

"Walaupun kajian terkini semuanya menunjukkan fakta bahawa varian Omicron memberi kesan kepada bahagian atas sistem pernafasan dan bukannya paru-paru, yang adalah berita baik, individu berisiko tinggi dan belum divaksin masih boleh mendapat sakit yang teruk daripada varian itu," katanya.

Mahamud berkata, varian Omicron boleh mengatasi strain lain dalam masa beberapa minggu, terutamanya di kawasan yang mempunyai sejumlah besar orang yang mudah terdedah - terutamanya mereka yang tidak divaksin. -AFP

Menurut beliau, di Denmark kes varian Alpha mengambil masa dua minggu untuk meningkat dua kali ganda, manakala varian Omicron hanya mengambil masa dua hari. -AFP

Media Baharu