fb fb fb fb fb

Kapal persiaran Hong Kong bawa 3,700 penumpang diarah berpatah balik


FOTO AFP (GAMBAR HIASAN)

HONG KONG, 5 Januari- Gara-gara sembilan penumpang kapalnya menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19 terutamanya membabitkan varian Omicron, pihak berkuasa Hong Kong mengarahkan sebuah kapal persiaran berpatah balik ke pelabuhan.

Arahan itu dibuat pihak berkuasa kesihatan hari ini ke atas kapal yang membawa 3,700 penumpang yang belayar sejak Ahad lalu.

Berikutan itu, semua 2,500 penumpang dan 1,200 kru perlu menjalani ujian saringan terlebih dahulu sebelum kapal berkenaan dibenarkan belayar semula ke perairan antarabangsa.

"Banyak meja, kerusi dan ruang dewan ditutup dan kami dipakaikan gelang bagi mengesan pergerakan penumpang di dalam kapal. Ketika kami menempah untuk menaiki kapal ini, kami sedar risiko yang bakal dihadapi cuma kami tidak bernasib baik kali ini," kata seorang penumpang yang enggan dikenali.

Sementara itu, pakar mikrobiologi, Yuen Kwok Yung, memberi amaran bahawa jangkitan yang tidak kelihatan mungkin sudah menular di bandar itu.

Dakwa beliau kepada media, gelombang kelima bakal berlaku di hab perniagaan yang dikenali sebagai 'Asia World City' itu.

Peraturan ketat yang dilaksanakan di Hong Kong setakat ini berhasil mengekang penularan virus itu dengan merekodkan sebanyak 12,000 kes positif dan 213 kematian sejak pandemik itu melanda. -AFP

Media Baharu