fb fb fb fb fb

Presiden Kazakhstan pecat seluruh anggota kabinet kerajaan

ALMATY, 5 Januari - Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev memecat keseluruhan kabinet kerajaannya.

Ia susulan pergolakan yang melanda negara selepas ribuan rakyat mengadakan tunjuk perasaan membantah kenaikan harga bahan api.

Timbalan Perdana Menteri, Alikhan Smailov, akan mengambil alih tugas Perdana Menteri sehingga barisan Kabinet baharu diwujudkan.

Sebelum itu, Tokayev mengisytiharkan darurat di bandar terbesar Almaty dan wilayah barat selepas ribuan rakyatnya melakukan protes besar-besaran.

Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata terhadap ribuan peserta perhimpunan selepas perarakan membantah isu harga minyak menjadi di luar kawalan.

Aplikasi seperti Telegram, Signal dan WhatsApp gagal berfungsi, apabila ribuan berhimpun bagi menyatakan bantahan.

Protes bermula pada 2 Jan apabila pemandu mengadakan tunjuk perasaan menentang kenaikan harga LPG di bandar Zhanaozen di Mangystau, yang kemudiannya merebak ke bandar Aktau.

Bantahan sokongan di Atyrau, Aktobe dan Oral, tempat rizab petroleum dan gas asli negara terletak, merebak ke bandar di Kazakhstan seterusnya bertukar menjadi demonstrasi awam.

 

REUTERS

Media Baharu