fb fb fb fb fb

WHO kutuk tindakan Israel arah hospital di Gaza pindahkan pesakit

GENEVA, 15 Oktober- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengecam sekeras-kerasnya arahan pemindahan yang dikeluarkan Israel ke atas 22 hospital yang terletak di utara Gaza.

Memetik laporan Agensi Berita Palestin (WAFA), pemindahan secara paksa pesakit dan petugas kesihatan akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan dan kesihatan awam.

Tindakan memaksa lebih 2,000 pesakit berpindah ke selatan Gaza boleh dianggap umpama “hukuman mati".

"Pesakit hemodialisis, bayi baru lahir dalam inkubator, wanita mengalami komplikasi kehamilan dan lain-lain berdepan ancaman kesihatan atau kematian jika mereka terpaksa berpindah.

"Pengarah hospital dan pekerja kesihatan kini menghadapi pilihan yang menyakitkan," menurut kenyataan WHO.

Kemudahan kesihatan di kawasan itu terus menerima kemasukan pesakit meskipun bergelut untuk beroperasi melebihi kapasiti maksimum dan sesetengah pesakit terpaksa dirawat di koridor berikutan kekurangan katil.

Badan dunia itu juga turut mengulangi gesaan untuk penghantaran segera bekalan perubatan, bahan api, air bersih, makanan dan bantuan kemanusiaan lain ke Gaza melalui Rafah.

rtm

(Seorang pegawai polis Palestin memegang bayi yang dibawa ke hospital berikutan serangan Israel
di Khan Yunis, Semenanjung Gaza, semalam/AFP)

Media Baharu