(Foto AFP)
GENEVA, 14 Julai- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini mengklasifikasikan aspartam iaitu pemanis tiruan yang biasa digunakan dalam minuman ringan sebagai 'kemungkinan karsinogenik (bahan cetus kanser) kepada manusia', walaupun tahap pengambilan harian yang boleh diterima (ADI) kekal tidak berubah.
Pengarah Keselamatan Makanan dan Nutrisi WHO, Francesco Branca membentangkan dua bukti mengenai aspartam pada sidang media di sini.
Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan Kanser (IARC) WHO melakukan penilaian pertamanya terhadap karsinogen dalam aspartam pada mesyuarat di Lyon, Perancis pada 6 hingga 13 Jun lalu.
"Kumpulan kerja mengklasifikasikan aspartam sebagai mungkin karsinogenik kepada manusia," kata WHO.
Ia diletakkan di bawah kategori Kumpulan 2B berdasarkan bukti tersedia yang terhad, khususnya berkaitan karsinoma hepatoselular iaitu sejenis kanser hati.
Selain itu, terdapat bukti kukuh yang terhad mengenai kanser dalam haiwan eksperimen.
Kategori Kumpulan 2B juga mengandungi ekstrak aloe vera dan asid kafeik yang terdapat dalam teh dan kopi.
"Namun, kami tidak menasihat syarikat untuk menarik balik produk (yang mengandungi aspartam), mahupun melarang pengguna daripada mengambilnya sama sekali," jelas Branca.
Kesimpulan dibuat bahawa data yang dinilai menunjukkan tiada sebab untuk menukar ADI yang diputuskan pada 1981, iaitu daripada sifar hingga 40 miligram (mg) aspartam bagi setiap kilogram (kg) berat badan.
Dengan setin minuman ringan tanpa gula yang biasanya mengandungi 200 atau 300 mg pemanis aspartam, orang dewasa dengan berat 70kg perlu mengambil lebih daripada sembilan tin hingga 14 tin sehari untuk melebihi ADI dengan mengandaikan tiada pengambilan aspartam tambahan daripada sumber lain, katanya.
"Masalahnya adalah untuk pengguna yang tinggi pengambilannya. Seseorang yang minum soda sekali-sekala tidak sepatutnya bimbang," kata Branca.
Aspartam adalah pemanis kimia tiruan yang digunakan secara meluas dalam pelbagai produk makanan dan minuman sejak tahun 1980-an seperti minuman diet, gula-gula getah, gelatin, ais krim, produk tenusu, yogurt, bijirin sarapan pagi, ubat gigi, ubat batuk dan vitamin kunyah. -AFP
(Francesco Branca/AFP)