fb fb fb fb fb

Dron Rusia paksa penduduk pindah, cetus 'iklim keganasan'

Kemusnahan di kediaman di Ukraine susulan serangan dron/ REUTERS

KIEV, 28 Oktober - Serangan dron Rusia ke atas orang awam berhampiran garis hadapan di Ukraine telah mencetuskan 'iklim keganasan' dan memaksa ribuan penduduk melarikan diri.

Tindakan itu termasuk elemen jenayah terhadap kemanusiaan iaitu pemindahan paksa, menurut satu penyiasatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Laporan Suruhanjaya Penyiasatan Antarabangsa Bebas mengenai Ukraine menggambarkan kejadian orang awam diburu menggunakan dron yang dilengkapi kamera jarak jauh, sebelum diserang menggunakan bom api atau bahan letupan ketika mereka cuba berlindung.

"Serangan ini dilakukan sebagai sebahagian dasar berkoordinasi untuk mengusir orang awam dari wilayah tersebut dan memenuhi takrif jenayah terhadap kemanusiaan berupa pemindahan paksa penduduk," menurut laporan setebal 17 muka surat yang akan dibentangkan kepada Perhimpunan Agung PBB minggu ini.

Penemuan laporan itu berdasarkan temu bual dengan 226 individu termasuk mangsa, saksi, petugas bantuan, pihak berkuasa tempatan dan ratusan video dalam talian yang telah disahkan.

Serangan yang dihuraikan dalam laporan itu berlaku di tiga wilayah di selatan Ukraine berhampiran garis hadapan serta di tebing bertentangan sungai Dnipro yang dikuasai tentera Rusia dalam tempoh lebih setahun.

Rusia dan Ukraine saling menuduh satu sama lain menyasarkan orang awam sepanjang peperangan yang kini memasuki tahun keempat, namun kedua-dua pihak menafikan dakwaan itu.

Menurut laporan itu, seorang wanita dari Kherson diburu menggunakan dron pada Ogos 2024 ketika memarkir keretanya sebelum diserang dan cedera ketika cuba berlindung di garajnya. Dua lagi dron tiba pada hari sama dan menyerang rumahnya, menyebabkan beliau terpaksa meninggalkan kediaman tersebut.

Serangan dron itu mengakibatkan penurunan mendadak penduduk di beberapa kawasan, dengan hanya warga berusia dan mereka yang mempunyai kekangan keupayaan fizikal masih kekal di lokasi terjejas.

"Tiada keraguan terhadap niat pengendali dron ini. Mereka benar-benar memburu manusia, sama ada di taman, di rumah atau di jalanan," kata Pengerusi Suruhanjaya, Erik Mose.

Sebilangan mangsa yang ditemu bual penyiasat PBB berkata mereka berasa seperti 'diburu' dan Mose berkata pelaku juga menggunakan istilah sama dalam video dron mereka yang dimuat naik secara dalam talian.

Laporan itu turut menyatakan pasukan bomba, petugas perubatan dan anggota kecemasan lain turut menjadi sasaran, menyebabkan penduduk terputus akses kepada perkhidmatan kecemasan pada saat paling kritikal.

Siasatan PBB pada Mei lalu menyimpulkan bahawa serangan sebegitu memenuhi takrif jenayah terhadap kemanusiaan iaitu pembunuhan. Namun laporan terkini turut mendapati ia merangkumi unsur pemindahan paksa dan berlaku di kawasan lebih luas merentasi lebih 300 kilometer.

Laporan itu juga mendokumentasikan tindakan pihak berkuasa Rusia yang menyelaras pemindahan atau penghantaran keluar orang awam dari wilayah Zaporizhzhia yang berada bawah kawalan mereka, yang disifatkan sebagai jenayah peperangan.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI