fb fb fb fb fb

PBB, Perancis kecam tindakan tembakan Israel hampir dengan UNIFIL

Sebuah kereta musnah susulan serangan Israel di Selatan Lubnan/ AFP

BAITULMAQDIS, 28 Oktober - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Perancis mengecam tindakan tembakan Israel berhampiran Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) di selatan Lubnan, susulan pasukan pengaman telah meneutralkan sebuah dron peninjau Israel.

Jurucakap PBB Stephane Dujarric memaklumkan tindakan itu menimbulkan kebimbangan sekali gus akan menyebabkan kemalangan jiwa.

"Kami sangat bimbang dengan insiden yang berlaku pada Ahad, di mana sebuah dron Israel menjatuhkan sebutir bom tangan berhampiran rondaan UNIFIL, dan seterusnya sebuah kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah pasukan pengaman di Kfar Kila dalam kawasan operasi UNIFIL.

"Rakan-rakan kami di UNIFIL sedang berhubung dengan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk membantah sekeras-kerasnya apa yang telah berlaku. Ini bukan kali pertama kami merasakan kami telah disasarkan dalam pelbagai cara oleh IDF, termasuk dengan penggunaan laser atau tembakan amaran. Keadaan ini amat berbahaya," tegasnya.

Pasukan pengaman PBB yang dikenali sebagai UNIFIL bekerjasama dengan tentera Lubnan bagi menguatkuasakan perjanjian gencatan senjata yang menamatkan lebih setahun konflik antara kumpulan Hezbollah yang disokong Iran dan Israel.

Menurut sumber diplomatik Perancis, pasukan UNIFIL yang terlibat dalam insiden Ahad itu adalah dari Perancis.

"Kami mengecam tembakan Israel yang menyasarkan detasmen UNIFIL pada 26 Oktober 2025," menurut kenyataan berasingan dari Kementerian Luar Perancis.

Kementerian itu memaklumkan bahawa insiden tersebut adalah lanjutan daripada kejadian pada 1, 2 dan 11 Oktober, ketika tentera Israel dilaporkan telah menyasarkan kedudukan UNIFIL.

Pada Ahad, UNIFIL melaporkan bahawa sebuah dron Israel terbang secara agresif di atas rondaan mereka.

"Pasukan pengaman telah melaksanakan langkah pertahanan yang perlu untuk meneutralkan dron tersebut," menurut kenyataan UNIFIL.

Insiden itu menunjukkan pengabaian terhadap keselamatan dan perlindungan pasukan pengaman yang melaksanakan mandat Majlis Keselamatan di selatan Lubnan.

UNIFIL kemudian melaporkan sebuah lagi dron Israel menghampiri rondaan mereka berhampiran Kfar Kila dan menjatuhkan bom tangan.

"Beberapa saat kemudian, sebuah kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah pasukan pengaman. Mujurlah, tiada kecederaan atau kerosakan terhadap anggota serta aset UNIFIL," tambah kenyataan itu.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI