ANKARA, 28 Oktober - Gempa bumi bermagnitud 6.1 melanda wilayah barat Turkiye pada Isnin, dengan gegaran turut dirasai di Istanbul dan beberapa bandar lain.
Menurut agensi kecemasan Turkiye, AFAD, gempa tersebut berlaku pada pukul 10.48 malam waktu tempatan dan turut dirasai di kawasan pelancongan popular Izmir.
Bagaimanapun tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa.
Imej sebuah rumah musnah dan beberapa kediaman lain rosak di bandar perbukitan Sindirgi disiarkan agensi berita swasta DHA.
"Menyusuli gempa yang turut dirasai di wilayah sekitar, AFAD bersama semua pasukan telah memulakan operasi di lapangan," kata Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya.
Pada Ogos lalu, gempa bumi dengan magnitud sama mengorbankan seorang penduduk dan mencederakan puluhan yang lain di Sindirgi.
Türkiye terletak di persilangan beberapa garisan sesar geologi yang sebelum ini telah mencetuskan bencana besar di negara berkenaan.
Gempa bumi pada Februari 2023 di wilayah barat daya telah mengorbankan sekurang-kurangnya 53,000 orang dan memusnahkan Antakya.
Pada awal Julai pula, gegaran bermagnitud 5.8 di wilayah sama mengakibatkan seorang maut dan mencederakan 69 orang.- AFP