fb fb fb fb fb

Trump dijadual bertemu Perdana Menteri Jepun, bahas isu perdagangan & keselamatan

Donald Trump tiba di Jepun/ AFP

TOKYO, 28 Oktober - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi pada Selasa, dalam pertemuan sulung antara kedua-dua pemimpin menjelang rundingan perdagangan penting dengan China dalam siri lawatan Trump ke Asia.

Trump tiba di Tokyo pada Isnin untuk lawatan selepas kunjungan ke Malaysia dan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping di Korea Selatan, yang dijangka dapat meredakan perang perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia susulan pengenaan tarif besar-besaran oleh AS.

Wakil rundingan dari Beijing dan Washington mengesahkan bahawa satu 'kerangka perjanjian' telah dipersetujui.

Di Tokyo, dalam pertemuan bersemuka pertama mereka, Trump dan Takaichi dijangka memberi tumpuan kepada isu keselamatan dan perdagangan antara kedua-dua negara.

Seorang penduduk Tokyo, Takashi Ito, 58, berkata perkara penting adalah mencari titik persetujuan dalam isu perdagangan.

"Tekanan berterusan untuk menaikkan tarif telah pun menimbulkan pelbagai masalah," luahnya.

Dalam isu keselamatan, Jepun yang sebelum ini berpegang kepada dasar keamanan kini mengambil pendekatan ketenteraan lebih tegas berikutan hubungan semakin tegang dengan China.

Takaichi, yang dikenali sebagai tokoh anti-China berkata, kerajaan pimpinannya akan mencapai sasaran perbelanjaan pertahanan sebanyak dua peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, dua tahun lebih awal daripada jadual asal.

Amerika Syarikat, yang mempunyai sekitar 60,000 anggota tentera di Jepun, mahu Tokyo meningkatkan perbelanjaan tersebut, berpotensi menyamai lima peratus daripada KDNK seperti yang dipersetujui anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada Jun lalu.

Profesor Yee Kuang Heng dari Sekolah Pengajian Dasar Awam Siswazah Universiti Tokyo berpendapat, Jepun perlu meningkatkan perbelanjaan pertahanan.

"Tindakan itu dilihat akan mengurangkan tekanan AS. Takaichi juga telah mengambil langkah 'lebih awal daripada dijangka' dengan mempercepat sasaran tersebut," katanya.

Selain pertemuan dengan Takaichi, Trump dijadual menyampaikan ucapan pada Selasa di atas kapal pengangkut pesawat USS George Washington yang berlabuh di Pangkalan Tentera Laut AS Yokosuka.

Beliau turut dijadual menghadiri majlis makan malam bersama pemimpin industri perniagaan, termasuk pengerusi syarikat automotif Toyota.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI