(Foto AFP)
CAPIRA, 14 Julai- Lima individu ditahan di Panama kerana cuba menyeludup lebih enam tan sirip ikan yu yang dipercayai untuk bekalan ke Asia, semalam.
Sepucuk pistol dan dokumentasi bank turut dirampas dalam operasi di sebuah premis yang dijadikan pusat penyimpanan serta pembungkusan organ haiwan terbabit di sini.
Seorang individu warga China disyaki menjadi pembiaya dalam aktiviti berkenaan.
Peguam negara, Javier Caraballo memberitahu sidang akhbar bahawa kebanyakan sirip yang dirampas sudah dehidrasi dan sedia untuk dieksport.
Perdagangan sirip yu dalam pasaran gelap di negara itu dianggarkan bernilai AS$500 juta (RM2,260 juta) setiap tahun, manakala mencecah harga AS$1,000 (RM4,520) setiap sekilogram.
Sup sirip ikan yu disifatkan makanan istimewa di Asia Timur yang sering menjadi hidangan mewah pada majlis perkahwinan dan jamuan.
Bagi beberapa negara terutama China dan Jepun, hidangan sirip yu dianggap boleh melambatkan penuaan, meningkatkan selera makan, menguatkan ingatan dan merangsang keinginan seksual. -AFP
(Foto AFP)