GENEVA, 30 Oktober - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terkejut dengan laporan menyatakan lebih 450 pesakit dan penjaga mereka ditembak mati dalam sebuah hospital yang separa berfungsi di El-Fasher, Sudan.
El-Fasher, yang ditawan pada Ahad selepas pengepungan selama 18 bulan telah mengukuhkan kawalan tentera pemberontak RSF ke atas Darfur, sekaligus mencetuskan kebimbangan keganasan bermotifkan etnik.
"WHO amat terkejut dengan laporan tragik membabitkan pembunuhan lebih 460 pesakit dan penjaga mereka di Hospital Bersalin Arab Saudi di El-Fasher," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi satu kenyataan.
"Semua serangan terhadap penjagaan kesihatan mesti dihentikan serta-merta dan tanpa syarat," tegasnya lagi sambil menggesa gencatan senjata dan menegaskan semua pesakit, pekerja penjagaan kesihatan dan kemudahan kesihatan perlu dilindungi.
Menurut WHO Hospital Bersalin Arab Saudi adalah satu-satunya hospital yang masih berfungsi di bandar itu.
"Ia diserang pada Ahad lepas untuk kali keempat dalam tempoh sebulan, dengan seorang jururawat terbunuh dan tiga pekerja kesihatan lain cedera," kata organisasi itu.
Pada Selasa, enam pekerja kesihatan, empat doktor, seorang jururawat dan seorang ahli farmasi telah diculik, tambah WHO.
“Pada hari yang sama, lebih 460 pesakit dan rakan mereka dilaporkan ditembak dan dibunuh di hospital.”
"Tragedi terbaharu ini memburukkan lagi krisis di El-Fasher di North Darfur, di mana keganasan yang semakin memuncak dengan pengepungan dan peningkatan kelaparan dan penyakit yang membunuh orang awam, termasuk kanak-kanak, dan meruntuhkan sistem kesihatan yang sudah rapuh," katanya.
"WHO mengutuk serangan ngeri terhadap penjagaan kesihatan ini dengan sekeras-kerasnya dan menyeru agar menghormati peranan kemudahan penjagaan kesihatan." - AFP