fb fb fb fb fb

Operasi antinarkotik AS di Laut Pasifik ragut empat lagi nyawa

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Pete Hegseth / Foto AFP

WASHINGTON, 30 Oktober - Tentera Amerika Syarikat (AS) menyerang sebuah lagi bot disyaki menyeludup dadah di timur Laut Pasifik, meragut empat nyawa, menjadikan keseluruhan angka kematian dalam operasi antinarkotik meningkat kepada sekurang-kurangnya 62.

Ketua Pengarah Pentagon, Pete Hegseth memaklumkan perkara itu menerusi akaun X yang turut disertakan dengan video menunjukkan bot itu tersadai di lautan sebelum diletupkan dan terbakar.

"Bot ini, seperti semua yang lain, dikenal pasti oleh pihak risikan kami terlibat dalam penyeludupan narkotik haram, sedang transit di sepanjang laluan pengedaran narkotik yang dikesan, dan membawa bahan terlarang," kata Hegseth.

Serangan pada Rabu, berlaku dua hari selepas beberapa serangan ke atas empat bot mengorbankan 14 orang, manakala seorang terselamat.

Amerika Syarikat meminta Mexico cuba menyelamatkan mangsa yang terselamat, tetapi Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum memaklumkan bahawa usaha mengesan mangsa, telah gagal.

Terdahulu pada Rabu, Presiden Venezuela Nicolas Maduro berkata negaranya telah memintas tiga pesawat yang didakwa digunakan untuk pengedaran dadah, ketika ketegangan memuncak berhubung serangan bot AS dan penempatan tenteranya di rantau itu.

"Sehari sebelum semalam, sebuah pesawat pengedar dadah masuk melalui Caribbean. Tentera udara kami mengesannya dalam sesaat," kata Maduro pada satu acara rasmi.

"Hari ini, dua pesawat pengedar dadah masuk dari utara. Dan mengikut undang-undang kita, kita ada undang-undang pemintasan...bam, boom, bang! (bunyi letupan)," katanya.

Tidak jelas sama ada ini bermakna pesawat itu ditembak jatuh. - AFP

EMMI NORALIZA ADNAN