fb fb fb fb fb

WHO bimbang gelombang baharu pelarian Ukraine terdedah penyakit

(FOTO REUTERS)

WARSAW, POLAND, 4 Mac- Gelombang pelarian penduduk yang melarikan diri dari Ukraine pada masa akan datang berkemungkinan lebih terdedah kepada penyakit dan kesukaran ekonomi berbanding sejuta yang sudah meninggalkan negara itu, seorang pegawai kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberitahu Reuters pada Khamis.

Bercakap di Warsaw, di mana WHO menyelaras 36 tan bantuan perubatan ke Ukraine, Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge berkata krisis yang sudah menjadi 'malapetaka kemanusiaan' akan menjadi lebih teruk apabila tentera Rusia mula mengepung dan melancarkan serangan di bandar-bandar utama Ukraine.

Beliau berkata demikian susulan persetujuan dicapai antara pegawai Rusia dan Ukraine untuk menubuhkan koridor kemanusiaan bagi penyampaian bantuan selain usaha itu berpotensi mewujudkan gencatan senjata di beberapa kawasan, sekali gus membantu orang awam yang meninggalkan negara berkenaan.

Sehingga kini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan kira-kira satu juta rakyat Ukraine meninggalkan Ukraine menuju ke Poland serta negara barat yang lain.

"Sekiranya konflik ketenteraan meningkat, ia akan menyaksikan lebih ramai rakyat Ukraine akan tinggal sehelai sepinggang," menurut Kluge.

 

(Sukarelawan mengagihkan  topeng muka kepada pelarian Ukraine yang baru sampai di Berlin Central Station/REUTERS)

 Pada gelombang pertama, kebanyakan pelarian itu masih mempunyai keupayaan kewangan serta tempat berteduh di Poland serta negara lain.

Namun katanya, dengan keadaan konflik semakin memuncak, rakyat Ukraine akan terbatas keupayaan sumber serta mengalami krisis kesihatan yang lebih teruk sekali gus memerlukan lebih banyak sokongan termasuk terpaksa menempuh perjalanan berbahaya untuk menuju ke sempadan.

"Mereka yang tinggal berisiko ini akan mengalami kekurangan bekalan perubatan dan penjagaan kecemasan," katanya.

Bantuan WHO yang dihantar ke Poland pada Khamis akan dipindahkan ke bandar Lviv, Ukraine terlebih dahulu dan kemudian digerakkan ke kawasan konflik mulai hari ini.

Ia termasuk kit trauma untuk 1,000 orang serta rawatan perubatan lain untuk digunakan kepada hingga 150,000 orang, termasuk ubat kanser dan insulin bagi pesakit diabetes. -REUTERS

Media Baharu