fb fb fb fb fb

Which? seru kerajaan bertindak terhadap harga barangan runcit

(FOTO REUTERS)

LONDON, 17 Julai- Kumpulan pengguna British Which? menggesa kerajaan mengambil tindakan untuk menyokong isi rumah apabila badan pemerhati persaingan menerbitkan ulasannya mengenai harga barangan runcit, dengan mengatakan beberapa harga makanan telah melonjak sebanyak 175 peratus sejak 2021.

Berdasarkan analisis membabitkan lebih daripada 21,000 produk makanan dan minuman di pasar raya Tesco, Sainsbury's, Asda, Morrisons, Aldi, Lidl, Waitrose dan Ocado, Which? mendapati harga barangan di pasar raya meningkat sebanyak 25.8 peratus antara Jun 2021 dan Jun 2023.

Harga makanan telah didorong oleh peningkatan kos untuk makanan haiwan, baja dan bahan api serta tenaga dan buruh.

Kadar penuaian yang lemah, selesema burung turut menyumbang kepada permasalahan tersebut.

Namun, Which? berkata penemuannya menunjukkan beberapa produk pasar raya telah dilanda inflasi tinggi yang tidak seimbang.

Pihak Berkuasa Persaingan dan Pasaran (CMA) akan menerima kemas kini mengenai persaingan dan harga dalam sektor runcit bulan ini. CMA sebelum ini berkata ia tidak menemui bukti yang menunjukkan kebimbangan khusus mengenai perkara itu.

"Jika isu persaingan dikenal pasti, CMA harus bersedia untuk mengambil tindakan yang sewajarnya," Which? berkata, sambil menambah, Menteri kewangan Jeremy Hunt juga harus memberikan maklumat terkini mengenai perkembangannya mengenai persetujuan langkah dengan industri untuk mengurangkan tekanan ke atas pengguna.

Pasar raya UK telah menolak dakwaan bahawa mereka mengaut keuntungan melalui krisis kos sara hidup.

Menjawab Which?, Konsortium Runcit British, yang mewakili pasar raya utama, berkata peruncit tidak menyebabkan pengguna mengalami semua tekanan kos yang mereka hadapi.

"Kerja keras yang dilakukan oleh peruncit untuk menyerap kenaikan kos bermakna UK menawarkan antara harga barangan runcit termurah di Eropah," kata Ketua Eksekutif BRC Helen Dickinson.

Beliau juga menegaskan bahawa harga beberapa bahan ruji utama, seperti mentega dan roti, telah mula jatuh dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Kerajaan di seluruh Eropah telah bergelut dengan inflasi yang tinggi. Bulan lalu, kerajaan Perancis memperoleh ikrar daripada 75 syarikat makanan untuk mengurangkan harga ratusan produk. Hungary pula telah mengenakan pemotongan harga mandatori.

Walaupun kerajaan UK telah menimbulkan kebimbangan mengenai kenaikan harga makanan, ia berkata tidak akan mempertimbangkan untuk mengenakan had harga.-REUTERS


(FOTO REUTERS)

Media Baharu