fb fb fb fb fb

Mexico pintas lebih 500 pendatang dalam masa dua hari

(FOTO REUTERS)

MEXICO CITY, 17 Julai- Pihak berkuasa Mexico pada Ahad berkata mereka menyekat lebih 500 pendatang yang sedang menuju ke Amerika Syarikat dalam masa dua hari di negeri timur Veracruz.

Pihak berkuasa Mexico kini sedang bertindak keras dengan memeriksa dengan teliti setiap kenderaan yang akan melintasi sempadan.

Pihak berkuasa menemui 206 pendatang yang ditinggalkan dalam treler traktor pada Sabtu di bandar Puente Nacional, Veracruz, kata sumber dari Institut Migrasi Negara (INM).

Datuk Bandar Roberto Montiel menulis di Facebook bahawa "lebih 180 pendatang ditemui, termasuk wanita dan kanak-kanak, dengan beberapa pendatang menunjukkan tanda-tanda dehidrasi".

Terdahulu pada Ahad, INM melaporkan dalam satu kenyataan bahawa pihak berkuasa telah memintas 303 pendatang dalam dua operasi pada pagi Jumaat di Veracruz.

Pada operasi pertama, pihak berkuasa menemui 107 pendatang tanpa dokumen, termasuk 20 kanak-kanak bawah umur tanpa ditemani penjaga dalam treler traktor selepas ia ditinggalkan di lebuh raya.

Enam individu telah ditangkap kerana berperanan dalam menyeludup pendatang, yang rata-ratanya berasal dari Cuba, El Salvador, Guatemala, Honduras, dan Nicaragua, kata kenyataan INM.

Pada hari yang sama, pihak berkuasa menemui 196 pendatang, termasuk 19 kanak-kanak bawah umur tanpa ditemani penjaga, dimasukkan ke dalam treler traktor yang dikesan berhampiran bandar Fortin de las Flores.

Lima daripada pendatang itu dari Guatemala dan lima lagi dari India, kata kenyataan INM, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai kewarganegaraan pendatang yang lain.

Penyeludupan migran ke Amerika Syarikat turut menyaksikan ianya berakhir dengan tragedi buruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

55 orang terbunuh pada Disember 2021 selepas trak yang membawa kira-kira 166 pendatang terbabas dan terbalik di selatan negeri Chiapas, Mexico.

Pada Jun 2022, 53 pendatang maut dalam treler traktor akibat kekurangan oksigen dan dehidrasi kerana cuaca panas terik di Texas dalam insiden pemerdagangan migran paling dahsyat dalam rekod di Amerika Syarikat.-REUTERS


(FOTO REUTERS)

Media Baharu