fb fb fb fb fb

WFP henti bantuan makanan kepada 650,000 wanita & kanak-kanak di Ethiopia

FOTO AFP

ADDIS ABABA, 22 April- Program Makanan Sedunia (WFP) terpaksa menghentikan bantuan pemakanan kepada 650,000 wanita dan kanak-kanak kurang zat di Ethiopia mulai Mei ini, berikutan kekurangan dana.

Dalam satu kenyataan, agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu itu memberi amaran bahawa mereka adalah sebahagian daripada 3.6 juta penduduk Ethiopia yang bakal kehilangan akses kepada bantuan makanan dalam minggu-minggu akan datang, sekiranya tiada peruntukan baharu diterima segera.

"WFP terpaksa menghentikan rawatan untuk 650,000 wanita dan kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan bermula Mei akibat kekurangan dana," jelas kenyataan itu.

WFP pada asalnya merancang untuk menyalurkan bantuan pemakanan menyelamatkan nyawa kepada 2 juta ibu dan anak sepanjang tahun 2025.

Krisis berkenaan turut dikaitkan dengan langkah pemotongan bantuan luar negara oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang menandatangani perintah eksekutif menggantung semua bantuan asing selama tiga bulan sejurus selepas memegang jawatan pada Januari lalu.

Lebih 10 juta penduduk Ethiopia kini berdepan ancaman kebuluran, menurut WFP.

Negara itu masih dalam fasa pemulihan pasca perang saudara yang berlaku antara tentera persekutuan dan kumpulan pemberontak di wilayah utara Tigray dari November 2020 hingga November 2022, yang meragut sekurang-kurangnya 600,000 nyawa.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE