BEIRUT, 22 April- Seorang pemimpin kanan kumpulan Islamis Lubnan, Jamaa Islamiya, yang bersekutu dengan Hamas Palestin, terbunuh dalam satu serangan udara Israel di selatan Beirut, pagi Selasa.
Menurut Pertahanan Awam Lubnan, sebuah drone Israel menyasarkan sebuah kenderaan berhampiran pekan pantai Damour, kira-kira 20 kilometer dari Beirut. Pasukan penyelamat menemui mayat seorang lelaki di dalam kenderaan yang musnah.
Dalam satu kenyataan, Jamaa Islamiya mengesahkan kematian Hussein Atoui, yang digambarkan sebagai "tokoh akademik dan pensyarah universiti". Menurut kumpulan itu, serangan dilakukan ketika beliau dalam perjalanan ke tempat kerja di Beirut.
Seorang pegawai keselamatan yang enggan dikenali memberitahu AFP bahawa Atoui merupakan pemimpin sayap bersenjata Jamaa Islamiya, Pasukan Al-Fajr.
Seorang jurufoto AFP turut melihat bangkai kenderaan yang hangus di lokasi kejadian, yang kemudiannya ditutup oleh tentera Lubnan untuk siasatan forensik.
Jamaa Islamiya diketahui mempunyai hubungan rapat dengan Hamas dan Hezbollah, serta telah mendakwa bertanggungjawab terhadap beberapa serangan ke atas Israel sejak lebih setahun lalu, termasuk semasa konflik bersenjata selama dua bulan sebelum gencatan senjata pada November lalu.
Walaupun gencatan senjata dikuatkuasakan, Israel terus melancarkan serangan berkala. Dua serangan roket dari Lubnan ke arah Israel turut dilaporkan pada 22 dan 28 Mac.
Minggu lalu, tentera Lubnan mengumumkan penahanan beberapa individu termasuk warga Palestin dan Lubnan yang terlibat dalam serangan itu, dipercayai termasuk tiga anggota Hamas.
Israel pada Ahad turut mendakwa berjaya membunuh dua komander kanan Hezbollah dalam siri serangan udara.-AFP