fb fb fb fb fb

AS aktif semula tindakan kutipan hutang pelajar

FOTO HIASAN

WASHINGTON, 22 April- Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat (AS) akan menyambung semula tindakan kutipan pinjaman pelajar persekutuan yang gagal dibayar secara involuntary atau paksaan bermula 5 Mei ini, selepas digantung sejak era pandemik COVID-19.

Menurut kenyataan jabatan itu pada Isnin, lebih lima juta peminjam kini berada dalam status gagal bayar. Pinjaman pelajar persekutuan dianggap gagal dibayar sekiranya tiada sebarang pembayaran dilakukan dalam tempoh 270 hari.

Antara tindakan yang akan diambil termasuk mengaktifkan semula Program Pampasan Perbendaharaan (Treasury Offset Program), yang membolehkan kerajaan memotong bayaran tertunggak daripada pulangan cukai serta faedah kerajaan lain.

"Pembayar cukai tidak sepatutnya terus menanggung dasar pinjaman pelajar yang tidak bertanggungjawab," tegas Setiausaha Pendidikan, Linda McMahon.

Selain itu, pemotongan gaji terhadap peminjam yang gagal membayar turut dijangka bermula pada musim panas ini.

Terdahulu, pentadbiran bekas Presiden Joe Biden cuba memperkenalkan skim baharu pembayaran semula pinjaman pelajar dikenali sebagai SAVE, namun ia disekat oleh mahkamah.

Jabatan Pendidikan dalam kenyataannya turut mengkritik pentadbiran Biden yang didakwa menyesatkan peminjam dengan menawarkan “skim penghapusan hutang yang tidak sah daripada segi perlembagaan” demi meraih sokongan politik.

Peminjam yang gagal membayar disaran menghubungi Default Resolution Group untuk menyusun semula pembayaran bulanan, mendaftar dalam pelan pembayaran berdasarkan pendapatan, atau menyertai program pemulihan pinjaman.

Jabatan itu turut memberi kuasa kepada agensi jaminan pinjaman untuk melaksanakan semula tindakan kutipan secara paksaan terhadap peminjam terlibat.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE