GAZA CITY, 22 April- Satu delegasi Hamas berlepas ke Kaherah bagi membincangkan idea baharu untuk mencapai gencatan senjata di Gaza, ketika serangan udara Israel terus meragut nyawa orang awam.
Pegawai Hamas memaklumkan, rundingan tersebut disertai oleh ketua perunding kumpulan itu, Khalil Al-Hayya dan akan melibatkan perbincangan bersama pegawai Mesir.
Langkah itu menyusul selepas Hamas menolak cadangan terbaharu Israel minggu lalu berhubung pertukaran tebusan dan bantuan kemanusiaan.
Serangan udara Israel sejak awal pagi Selasa dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang, termasuk sembilan individu di Khan Yunis.
Menurut agensi pertahanan awam Gaza, enam mangsa dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan, manakala lebih 10 rumah musnah akibat serangan.
Selain kawasan perumahan, jentera milik Majlis Perbandaran Jabalia turut musnah dalam satu serangan di utara Gaza.
Israel belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung siri serangan terbaharu itu.
Dalam pada itu, Duta Amerika Syarikat ke Israel yang baharu, Mike Huckabee, menggesa Hamas menerima tawaran gencatan senjata sebagai langkah awal membawa masuk bantuan kemanusiaan.
Katanya, pembebasan tebusan mesti menjadi keutamaan agar bantuan dapat disalurkan tanpa risiko disalahguna oleh Hamas.
Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini menyifatkan Gaza kini sebagai "tanah keputusasaan" dengan kebuluran yang semakin menular secara sengaja.
Israel menuduh Hamas menyalahguna bantuan, namun tuduhan itu dinafikan Hamas.
Terdahulu, Qatar bersama Amerika Syarikat dan Mesir berjaya menengahi gencatan senjata bermula 19 Januari lalu yang memungkinkan pertukaran banduan serta kemasukan bantuan.
Namun perjanjian itu terbatal selepas kedua-dua pihak gagal bersetuju dalam fasa lanjutan gencatan.
Setakat ini, lebih 1,890 kematian direkodkan sejak Israel menyambung operasi ketenteraan pada 18 Mac, menjadikan jumlah korban keseluruhan mencecah 51,266 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.- AFP