YANGON, 22 April- Junta tentera Myanmar mengumumkan lanjutan gencatan senjata sehingga 30 April bagi memudahkan usaha bantuan kemanusiaan susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu bulan lalu.
Gencatan senjata yang diumumkan sebelum ini susulan gempa berkekuatan 7.7 magnitud itu sepatutnya berakhir tengah malam ini.
Menurut kenyataan pasukan maklumat junta, lanjutan itu bertujuan memastikan proses pemulihan dan pembinaan semula dapat diteruskan dengan lancar.
Gempa bumi pada 28 Mac lalu telah meragut lebih 3,700 nyawa dan menyebabkan lebih 60,000 mangsa kini berlindung di khemah sementara.
Data Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan kira-kira dua juta penduduk kini berada dalam keadaan sangat memerlukan bantuan serta perlindungan segera.
Walaupun gencatan senjata diumumkan, kumpulan pemantau konflik dan penduduk tempatan mendakwa pertempuran masih berlaku antara kedua-dua pihak.
Junta dalam kenyataan sama menegaskan, pihaknya akan terus mempertahankan diri sekiranya diserang oleh kumpulan bersenjata lain.
Pihak antarabangsa termasuk agensi bantuan dan negara serantau turut menggesa agar tempoh gencatan senjata dilanjutkan bagi memastikan usaha bantuan kemanusiaan tidak terganggu.
Krisis kemanusiaan itu berlaku ketika negara berkenaan masih bergelut dengan perang saudara yang tercetus selepas rampasan kuasa tentera pada 2021.
Pada Khamis lalu, Ketua Junta Min Aung Hlaing telah terbang ke Bangkok untuk pertemuan tertutup bersama Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pertemuan itu turut melibatkan perbincangan dengan pengerusi ASEAN, yang kini dipegang oleh Malaysia.
Datuk Seri Anwar berkata beliau juga telah menghubungi Kerajaan Perpaduan Kebangsaan Myanmar yang mewakili pembangkang.
Menurutnya, kedua-dua pihak menyatakan kesediaan untuk mengelak sebarang peningkatan konflik susulan gempa.
Malaysia kini menerajui usaha ASEAN dalam meredakan ketegangan di Myanmar yang berlarutan sejak lebih tiga tahun.-AFP