BEIJING, 22 April- Seorang bekas pegawai kanan wilayah Xinjiang dijatuhi hukuman mati bertangguh selepas didapati bersalah menerima rasuah berjumlah AS$112 juta, umum sebuah mahkamah di China pada Selasa.
Menurut penyiar rasmi CCTV, Mahkamah di Baoji, wilayah Shaanxi, mendapati Li Pengxin, bekas Timbalan Setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis di wilayah barat laut itu, menyalahgunakan pelbagai jawatan rasmi antara tahun 1999 hingga 2023 untuk mengumpul kekayaan luar biasa.
Li dilaporkan menerima rasuah sebagai balasan memberikan bantuan kepada unit dan individu dalam eksploitasi mineral, operasi perniagaan, pelantikan jawatan dan urusan lain.
Mahkamah menyifatkan kesalahan Li sebagai amat berat dan memberi kesan sosial yang sangat buruk.
Walaupun dijatuhi hukuman mati, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan kerana pengakuan bersalah dan kerjasama beliau dengan pihak penyiasat. Bagaimanapun, hukuman penjara seumur hidup itu tidak akan diringankan.
Li pernah berkhidmat di wilayah Qinghai dan Mongolia Dalam sebelum dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Parti di Xinjiang dari 2016 hingga 2021, iaitu ketika kawalan dan pemantauan terhadap etnik Uyghur serta minoriti Muslim lain semakin diperketat.
Beliau mula disiasat atas tuduhan rasuah pada tahun 2023.
Presiden Xi Jinping sejak lebih sedekad lalu menjalankan kempen besar-besaran membanteras rasuah, yang menurut pengkritik juga digunakan sebagai alat untuk menyingkirkan musuh politik.
Ketika tempoh Li di Xinjiang, banyak kumpulan hak asasi manusia mendakwa kerajaan China melakukan pencabulan serius terhadap hak etnik Uyghur, yang digambarkan oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara lain sebagai “pembunuhan beramai-ramai.”
Beijing menolak keras dakwaan itu, sebaliknya menyatakan dasar mereka bertujuan membanteras ekstremisme agama dan memacu pembangunan ekonomi.-AFP