fb fb fb fb fb

Wartawan penyiaran UK tuntut akses terbuka di Gaza

Foto AFP

LONDON, 29 Februari - Lebih 50 wartawan penyiaran yang berpangkalan di United Kingdom (UK) telah menghantar surat terbuka kepada kedutaan Israel dan Mesir menyeru "akses bebas dan tidak terkawal" ke Gaza untuk media asing, lapor media British pada Rabu.

Surat daripada 55 koresponden dan penyampai dari saluran penyiaran utama yang berpangkalan di UK, merayu untuk perlindungan yang lebih baik bagi wartawan yang sudah berada di wilayah itu.

“Hampir lima bulan selepas perang di Gaza, wartawan asing masih dinafikan akses ke wilayah itu,” kata surat itu, dipetik oleh beberapa media tempatan.

"Kami menggesa kerajaan Israel dan Mesir untuk membenarkan akses bebas dan tidak terkawal ke Gaza untuk semua media asing."

Surat itu turut menyeru Israel untuk menyatakan secara terbuka kebenarannya bagi wartawan antarabangsa untuk beroperasi di Gaza manakala kepada pihak Mesir membenarkan wartawan antarabangsa masuk ke sempadan Rafah antara Mesir dan Gaza.

Wartawan yang menandatangani surat tersebut termasuk Alex Crawford dari Sky News, Jeremy Bowen dari BBC dan Christiane Amanpour dari CNN.

Walaupun beberapa wartawan telah dijemput untuk masuk diiringi Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk lawatan di dalam Gaza, mereka telah dilarang bercakap dengan mana-mana penduduk Palestin di sana.

"Terdapat kecenderungan yang mendalam terhadap peristiwa di Gaza dan buat masa ini satu-satunya laporan datang daripada wartawan yang sudah pun berpangkalan di sana," kata surat itu.

"Adalah penting untuk keselamatan wartawan tempatan dihormati dan usaha mereka perlu disokong oleh media antarabangsa.

"Keperluan untuk melaporkan konflik secara komprehensif di lapangan adalah penting."

Laporan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan, sekurang-kurangnya 122 wartawan dan pekerja media lain telah terbunuh dan ramai lagi cedera di Semenanjung Gaza sejak perang meletus pada 7 Oktober.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN