MOSCOW, 16 April- Mahkamah Rusia telah memerintahkan penahanan praperbicaraan terhadap seorang wartawan Siberia.
Ini susulan dakwaan 11 anggota polis yang enggan menyertai kempen ketenteraan Moscow di Ukraine.
Sejak Presiden Vladimir Putin menghantar tentera ke Ukraine pada 24 Februari, pihak berkuasa telah meningkatkan langkah untuk 'menutup mulut' pengkritik operasi ketenteraan di negara jiran pro-Barat Rusia itu.
Jawatankuasa Siasatan, berkata ketua pengarang laman web berita itu telah diletakkan dalam tahanan pra-perbicaraan kerana menyebarkan "maklumat palsu dengan sengaja".
Menurut sumber, wartawan berkenaan merupakan Mikhail Afanasyev, yang juga merupakan penyunting "Novyi Fokus", sebuah laman web berita di Khakassia.
(FOTO FAIL/ AFP)
Jika sabit kesalahan, Afanasyev berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Jawatankuasa penyiasat telah menyerbu apartmennya dan merampas wang tunai AS$15,000 dan lebih 1,200 euro.
Pada awal April, Afanasyev, memetik sumber, melaporkan bahawa 11 anggota polis rusuhan OMON Rusia menghadapi tekanan daripada pihak berkuasa selepas enggan pergi ke Ukraine.
Laporan Afanasyev dipetik secara meluas di media sosial, dan pada hari Jumaat pengawal selia media Rusia menyekat laman web berbahasa Rusia saluran berita bebas The Moscow Times selepas ia memetik laporan itu dalam satu artikel.
Afanasyev, 45, sebelum ini berkata dia tidak bercadang untuk meninggalkan Rusia.
“Saya tidak akan meninggalkan negara ini, saya tetap berkeras dan akan terus menentang,” katanya kepada AFP pada awal April. -AFP