GENEVA, 11 Mei - Sebutir berlian biru seberat 10 karat yang dijangka mencapai harga AS$20 juta apabila dilelong hujung bulan ini telah diperkenalkan oleh rumah lelongan Sotheby’s di Geneva.
Berlian berbentuk kusyen itu, dikenali sebagai Mediterranean Blue Diamond, dilombong di Afrika Selatan dan mempamerkan warna jarang ditemui yang diklasifikasikan sebagai fancy vivid blue, menurut kenyataan Sotheby’s.
“Pasaran berlian berwarna terus menunjukkan prestasi yang kukuh,” kata Jessica Wyndham dari Sotheby’s sambil menambah bahawa beliau menjangkakan harga sekitar AS$20 juta.
Pada tahun 2016, sebutir lagi berlian biru vivid telah dijual pada harga 56.8 juta franc Swiss (AS$68.7 juta) dalam lelongan anjuran Christie’s di Geneva.
Koleksi barang kemas mewah Sotheby’s, yang turut merangkumi batu permata berwarna lain, telah diperkenalkan kepada wartawan di Geneva sebelum lelongan secara langsung yang dijadualkan berlangsung pada 13 Mei di Hotel Mandarin Oriental.-REUTERS