NEW YORK, 3 Januari– Tesla melaporkan penurunan jualan pada tahun 2025, sekali gus kehilangan kedudukan sebagai pengeluar kenderaan elektrik (EV) terbesar dunia kepada gergasi automotif China, BYD.
Syarikat Amerika Syarikat yang diterajui Elon Musk mencatatkan 418,227 penghantaran pada suku terakhir tahun lalu, menjadikan jumlah jualan tahunan sekitar 1.64 juta.
Angka itu menunjukkan penurunan lebih lapan peratus berbanding jualan pada 2024.
Sehari sebelum itu, BYD mengumumkan ia menjual 2.26 juta EV sepanjang tahun lalu, jauh mengatasi pencapaian Tesla.
Penganalisis sebelum ini menjangkakan jualan Tesla pada suku akhir akan lebih tinggi, sekitar 449,000 unit, berdasarkan konsensus FactSet.
Kemerosotan itu berlaku selepas kredit cukai EV AS bernilai AS$7,500 dimansuhkan pada akhir September 2025, dengan pemerhati industri menyatakan pasaran memerlukan masa untuk menstabilkan semula permintaan.
Namun, sebelum langkah itu lagi, Tesla sudah berdepan kelembapan jualan di pasaran utama, sebahagiannya dikaitkan dengan sokongan politik Elon Musk terhadap Presiden AS Donald Trump dan tokoh-tokoh berhaluan kanan.
Tesla turut berdepan persaingan sengit daripada BYD dan pengeluar China lain, selain tekanan daripada syarikat automotif gergasi Eropah.
BYD yang berpangkalan di Shenzhen, dan turut menghasilkan kenderaan hibrid, mencatat rekod jualan EV tertinggi pada tahun lalu.
Dikenali dalam bahasa Mandarin sebagai “Biyadi” atau melalui slogan Inggeris “Build Your Dreams”, BYD diasaskan pada 1995 dan bermula sebagai pengeluar bateri.
Syarikat itu kini menguasai pasaran kenderaan tenaga baharu China yang sangat kompetitif.
BYD kini giat mengembangkan kehadiran global, ketika corak penggunaan yang lebih berhati-hati dari segi harga di China menekan keuntungan.
Walaupun BYD dan pengeluar EV China lain berdepan tarif tinggi di Amerika Syarikat, prestasi syarikat itu semakin meningkat di Asia Tenggara, Asia barat dan Eropah.
Pada 2024, Tesla hanya mengatasi BYD dengan jurang kecil, apabila mencatat jualan 1.79 juta EV berbanding 1.76 juta oleh syarikat China itu.
Saham Tesla ditutup 2.6 peratus lebih rendah di New York pada Jumaat.
Penganalisis Wedbush Securities menyatakan angka jualan suku tahunan Tesla masih lebih baik berbanding jangkaan paling pesimis pasaran.
Namun, mereka memberi amaran Tesla berdepan persekitaran permintaan lebih mencabar selepas tamatnya insentif cukai EV, selain pasaran Eropah yang terus menjadi tekanan.
Tesla juga masih menghadapi cabaran kelulusan peraturan di Eropah, khususnya berkaitan teknologi pemanduan sendiri, dengan potensi pemulihan jualan selepas halangan itu diselesaikan.
Menurut Wedbush, pertumbuhan jualan di pasaran kecil dan sedang membangun mula melebihi jangkaan dan berpotensi mengimbangi penurunan di pasaran utama seperti China dan Eropah. - AFP
