WASHINGTON, 3 Januari - Sekurang-kurangnya 40,000 orang ditembak di Amerika Syarikat sepanjang 2025, termasuk lebih 14,600 kematian dan lebih 26,100 cedera, menurut statistik awal yang dikeluarkan oleh Gun Violence Archive (GVA), pada Khamis.
GVA memaklumkan, 407 insiden tembakan rambang direkodkan tahun lalu.
Insiden tersebut ditakrifkan sebagai kejadian tembakan yang mengorbankan atau mencederakan empat orang atau lebih, tidak termasuk penembak yang mungkin turut terbunuh atau cedera.
Data itu juga menunjukkan, seramai 224 kanak-kanak berusia 11 tahun ke bawah terbunuh akibat tembakan, manakala 461 lagi cedera dalam kumpulan umur sama, sepanjang tahun berkenaan.
Selain itu, 1,030 remaja berusia 12 hingga 17 tahun terbunuh, serta 2,733 lagi mengalami kecederaan akibat tembakan.
Statistik kematian berkaitan senjata api yang direkodkan GVA merangkumi kes pembunuhan, penggunaan senjata api untuk mempertahankan diri dan tembakan tidak sengaja, namun tidak termasuk kes bunuh diri.
Bagaimanapun, memetik anggaran awal Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), GVA melaporkan lebih 24,000 kematian akibat bunuh diri menggunakan senjata api pada 2025.
Media tempatan melaporkan, meskipun jumlah kematian dan kecederaan akibat tembakan menunjukkan penurunan selama empat tahun berturut-turut sejak 2021, lebih 40,000 orang masih terkorban atau cedera akibat keganasan senjata api pada 2025, tidak termasuk kes bunuh diri.
Ini bermakna, secara purata, lebih 110 orang sehari menjadi mangsa keganasan senjata api sepanjang tahun lalu.-REUTERS
