fb fb fb fb fb

Presiden Rusia, Palestin bincang krisis Gaza yang semakin kritikal

Foto AFP

MOSCOW/ISTANBUL, 11 Mei - Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas membincangkan situasi di Semenanjung Gaza pada Sabtu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Istana Kremlin dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu diadakan semasa lawatan Abbas ke Moscow bersempena sambutan Hari Kemenangan pada 9 Mei.

Dalam bahagian perbincangan yang dibuka kepada media, Putin menekankan kepentingan hubungan dengan Palestin dan menyatakan kedua-dua negara dihubungkan oleh ikatan persahabatan yang kuat.

Mengulas mengenai situasi di Gaza, beliau berkata peristiwa tragik sedang berlaku di wilayah itu dan lebih 51,000 nyawa telah terkorban.

“Satu bencana kemanusiaan berskala besar sedang berlaku di Semenanjung Gaza,” kata Putin.

Beliau turut menyatakan situasi yang semakin bertambah buruk.

“Keadaan semakin merosot susulan keputusan yang menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan, keperluan asas dan bekalan elektrik ke Semenanjung Gaza,” katanya.

Abbas pula merakamkan penghargaan kepada Rusia atas pendiriannya terhadap Palestin.

“Rakyat Palestin tidak mahu lebih daripada apa yang ditetapkan oleh undang-undang antarabangsa, dan mereka mahu undang-undang itu dilaksanakan,” katanya sambil menegaskan keperluan segera untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Abbas turut mengkritik pendekatan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump terhadap Palestin, sambil menolak pelan pemindahan paksa rakyat Palestin dan idea “Gaza Riviera”, menurut Anadolu. - BERNAMA 

TETITIA YUSOFF