PARIS, 11 Mei - Dokumentari "Put Your Soul on Your Hand and Walk" arahan Sepideh Farsi yang memaparkan kehidupan Fatima Hassouna di Gaza, akan ditayangkan pada 15 Mei 2025, di bahagian ACID di Festival Filem Cannes 2025.
Tayangan itu sebagai penghormatan terhadap Hassouna seorang jurugambar Palestin berusia 25 tahun dari Gaza, yang terkorban dalam serangan udara Israel pada 16 April 2025, bersama sepuluh ahli keluarganya, termasuk seorang adik perempuannya yang sedang hamil, sehari selepas dokumentari itu ditanyangkan.
Dokumentari tersebut memaparkan komunikasi video antara Farsi dan Hassouna sepanjang hampir setahun konflik, menggambarkan kehidupan di Gaza melalui lensa seorang penduduk tempatan.
Festival Filem Cannes menyatakan kesedihan dan rasa terkejut atas tragedi tersebut, menyifatkan ia sebagai kehilangan besar bagi dunia.
Pihak festival menekankan bahawa tayangan bukan sahaja bagi menyampaikan mesej filem, malah menghormati ingatan seorang wanita muda yang menjadi mangsa peperangan yang dasyat.
Hassouna dikenali kerana dokumentasinya yang berani mengenai kehidupan awam semasa konflik, termasuk pemindahan paksa, kemusnahan infrastruktur akibat serangan udara.
Beliau sempat memuat naik cerita Instagram terakhirnya pada 15 April 2025, yang menunjukkan matahari terbenam di Gaza dengan kapsyen: "Ini adalah matahari terbenam pertama dalam masa yang lama."
Kehilangan Hassouna menambah kepada statistik tragis dengan lebih daripada 51,000 orang terbunuh di Gaza sejak serangan Israel bermula pada Oktober 2023, dengan lebih separuh daripadanya adalah dalam kalangan wanita dan kanak-kanak. - AFP