ISTANBUL, 11 Mei- Negara-negara Arab menyambut baik pengumuman perjanjian gencatan senjata antara India dan Pakistan pada Sabtu selepas empat hari pertempuran sengit, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kementerian Luar Arab Saudi menyatakan kerajaan itu mengalu-alukan perjanjian antara dua negara berjiran yang memiliki senjata nuklear berkenaan. Ia turut menyuarakan keyakinan bahawa langkah itu dapat mengembalikan keamanan dan keselamatan di rantau berkenaan, serta memuji kedua-dua pihak kerana mengutamakan kebijaksanaan dan menahan diri.
Arab Saudi turut menegaskan sokongannya terhadap penyelesaian pertikaian melalui dialog dan kaedah damai.
Qatar turut menyambut baik perjanjian berkenaan serta menyatakan sokongan penuh terhadap usaha meredakan ketegangan dan menyelesaikan konflik secara aman.
Kementerian Luarnya menyatakan perjanjian itu mencerminkan “kebijaksanaan Pakistan dan India serta komitmen kedua-duanya terhadap keamanan dan penyelesaian semua isu tertunggak melalui dialog membina, yang menyediakan penyelesaian komprehensif, dipersetujui bersama dan mampan yang dapat meningkatkan keselamatan dan kestabilan rantau berkenaan.”
Qatar turut menghargai peranan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dalam memudahkan perjanjian itu.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Abdullah bin Zayed, menyatakan harapan agar gencatan senjata itu memberi manfaat kepada keselamatan dan kestabilan kedua-dua negara, rakyat mereka serta rantau Asia Selatan.
Beliau memuji usaha Trump dan menekankan hubungan sejarah UAE yang rapat dengan India dan Pakistan, menurut agensi berita WAM.
Kementerian Luar Kuwait pula menyatakan harapan agar perjanjian itu menyumbang kepada pemulihan keamanan dan kestabilan serantau, di samping memuji peranan pengantara AS dan usaha negara lain. Kuwait turut menegaskan pendirian tegasnya dalam menyokong dialog dan penyelesaian diplomatik terhadap persengketaan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Bahrain pula mengiktiraf usaha diplomatik Arab Saudi dan menyatakan sokongan penuh terhadap semua usaha dan inisiatif ke arah mewujudkan keamanan berkekalan antara dua negara jiran itu.
Oman memuji peranan Trump dalam mencapai perjanjian itu dan menekankan kepentingan langkah itu dalam meredakan ketegangan serta memperkukuh keselamatan dan kestabilan serantau.
Kementerian Luar Jordan menyifatkan perjanjian itu sebagai langkah penting ke arah memperkukuh keamanan dan kestabilan serantau.
Jurucakap kementerian itu menegaskan kepentingan menyelesaikan krisis melalui kaedah diplomatik dan menghormati prinsip kejiranan baik.
Kementerian Luar Iraq dalam kenyataan menyifatkan perjanjian itu sebagai “isyarat positif yang mencerminkan komitmen kedua-dua pihak terhadap dialog dan diplomasi dalam menyelesaikan pertikaian.”
Menurut kementerian itu, keputusan berkenaan adalah “langkah bijak ke arah meredakan ketegangan serantau serta membuka ruang untuk meningkatkan kepercayaan bersama dan membina jambatan persefahaman serta pendekatan.”
Libya menyifatkan perjanjian itu sebagai “langkah positif dan penting untuk meredakan ketegangan serta menggalakkan kestabilan di rantau berkenaan.”
Palestin pula berharap perjanjian itu akan menyumbang kepada usaha memperkukuh keamanan dan keselamatan serantau. Ia memuji usaha India dan Pakistan dalam mengutamakan dialog dan menahan diri demi memupuk keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa sekali gus mendorong perdamaian yang adil.
Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Jasem Albudaiwi berharap perjanjian itu dapat mengukuhkan kestabilan di Asia Selatan.
Beliau menyuarakan aspirasi GCC agar perjanjian itu menjadi “langkah ke arah penyelesaian komprehensif konflik antara kedua-dua negara, yang menjamin keamanan dan keselamatan berkekalan buat rakyat mereka.”
Presiden Trump pada Sabtu mengumumkan bahawa India dan Pakistan telah mencapai perjanjian gencatan senjata “penuh dan serta-merta” selepas beberapa hari pertempuran sengit. Perkembangan itu kemudiannya disahkan oleh Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar dan Setiausaha Luar India, Vikram Misri.
Dar menyatakan bahawa menteri luar dari Turkiye, Arab Saudi, United Kingdom dan beberapa negara lain memainkan peranan “utama” dalam memudahkan perjanjian itu.- BERNAMA-ANADOLU