fb fb fb fb fb

8 terbunuh termasuk kanak-kanak dalam serangan Israel di Khan Yunis

Pasukan penyelamat mengusung mayat rakyat Gaza selepas terbunuh dalam serangan Israel di Khan Yunis, lalu dibawa ke Hospital Nasser.

GAZA, 11 Mei - Lapan orang, termasuk empat kanak-kanak berusia antara dua hingga lima tahun, dilaporkan maut dalam serangan udara Israel yang menyasarkan khemah pelarian di Khan Yunis, selatan Gaza, awal pagi Ahad.

Menurut jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, tiga khemah yang menempatkan puluhan pelarian menjadi sasaran jet pejuang Israel, manakala rakaman video menunjukkan pasukan penyelamat memindahkan mangsa dalam gelap, termasuk seorang bayi yang cedera.

Bassal turut memaklumkan lima rumah musnah akibat bahan letupan di timur Bandar Gaza, selain tembakan ke kawasan Abassa, timur Khan Yunis, namun tiada kematian dilaporkan.

Israel menyambung semula serangan pada 18 Mac lalu selepas dua bulan gencatan senjata, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 2,701 kematian,

Korban keseluruhan rakyat Palestin sejak perang tercetus Oktober lalu meningkat kepada 52,810 orang.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI