fb fb fb fb fb

Nahas bas di Sri Lanka ragut 21 nyawa

Orang ramai berkumpul di lokasi kemalangan bas di kawasan berbukit tengah Kotmale

KOTMALE, 5 Mei - Sebuah bas sarat membawa kira-kira 70 penganut Buddha terjunam ke dalam gaung di kawasan berbukit Kotmale, tengah Sri Lanka, awal pagi Ahad. Insiden mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang dan mencederakan 24 yang lain.

Bas milik kerajaan itu dipercayai membawa lebih 20 penumpang melebihi kapasiti ketika dalam perjalanan sejauh 250 kilometer dari bandar suci Kataragama ke Kurunegala. Menurut polis, pemandu dipercayai hilang kawalan semasa melalui selekoh tajam sebelum kenderaan itu terjatuh ke ladang teh di cerun curam.

Gambar dari lokasi kejadian menunjukkan bumbung dan sisi bas tercabut sepenuhnya, manakala lebih separuh tempat duduk tercabut daripada lantai. Sebahagian besar mangsa diselamatkan oleh penduduk setempat sebelum dihantar ke hospital berhampiran.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Prasanna Gunasena, memaklumkan siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada insiden berpunca daripada kegagalan mekanikal atau kecuaian pemandu. Beliau turut mengesahkan bahawa mangsa sedang dirawat dan identiti korban masih dikenal pasti.

Nahas ini antara yang terburuk di Sri Lanka dalam tempoh beberapa dekad, mengulangi tragedi pada April 2005 dan Mac 2021 yang turut melibatkan kemalangan bas maut. Sri Lanka mencatat purata 3,000 kematian jalan raya setiap tahun, menjadikan laluan negara pulau itu antara yang paling berbahaya di dunia.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI