fb fb fb fb fb

Rumeysa Ozturk dibebaskan selepas enam minggu ditahan

RUmeysa Ozturk berucap pada sidang media sejurus tiba di Lapangan Terbang Logan pada 10 Mei di Boston, Massachusetts. Ozturk, pelajar kedoktoran Universiti Tufts, dibebaskan selepas ditahan selama enam minggu oleh pihak berkuasa persekutuan di pusat tahanan imigresen Louisiana.- Foto Afp

BOSTON, 10 Mei - Pelajar Universiti Tufts, Rumeysa Ozturk, kembali ke Boston pada malam Sabtu, susulan pembebasannya daripada tahanan enam minggu di sebuah pusat imigresen di Louisiana.

Hakim Persekutuan, William Sessions, membenarkan ikat jamin terhadap Ozturk yang ditahan selepas menulis rencana mengkritik tindakan universiti terhadap perang Israel di Gaza.

Hakim menyatakan penahanan Ozturk berpunca semata-mata daripada ekspresi beliau dalam rencana tersebut, yang melanggar hak kebebasan bersuara di bawah Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika Syarikat.

Beliau ditahan pada 25 Mac berhampiran kediamannya di Somerville, Massachusetts, selepas visanya dibatalkan oleh Jabatan Negara .Rakaman penahanannya tular di media sosial.

Dalam sidang media bersama peguam, Senator Edward Markey, Ahli Kongres Ayanna Pressley, dan wakil ACLU, Ozturk menyatakan kepercayaannya terhadap sistem keadilan Amerika walaupun berdepan ujian berat. Peguamnya menegaskan bahawa penahanan itu bermotifkan politik dan bertujuan menakut-nakutkan aktivis pro-Palestin di kampus-kampus Amerika Syarikat.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI