DURBAN, 16 April- Pihak berkuasa Afrika Selatan mengeluarkan dana kecemasan untuk membantu puluhan ribu orang yang kehilangan tanpa tempat tinggal, air dan elektrik.
Ini susulan tragedi banjir yang memberi kesan kepada lebih 40,000 orang penduduk sehingga menghanyutkan rumah dan jalan serta mengorbankan hampir 400 orang di pantai timur negara itu.
Menteri Kewangan, Enoch Godongwana ketika ditemubual stesen TV Newsroom Africa berkata, AS$68.30 juta (RM289 juta) disalurkan bagi bantuan kecemasan tersedia untuk kegunaan segera.
"Kami masih pada peringkat bantuan kecemasan dan memerlukan kepantasan dalam perkara ini,
"Fasa pertama ialah mendapatkan profesional untuk membuat penilaian terhadap kerosakan dan kos, manakala fasa kedua ialah pemulihan dan pembaikan," katanya.
Sementara itu, pihak berkuasa tempatan juga menganggarkan kerosakan pada beberapa bilion rand dan lebih banyak lagi akan menyusul.
(Menteri Kewangan Afrika Selatan, Enoch Godongwana/ AFP)
Banjir minggu ini di Wilayah Kwazulu-Natal memutuskan talian elektrik, menjejaskan bekalan air, mengganggu operasi di satu pelabuhan paling sibuk di Afrika dan lebuh raya serta pantai berselerak dengan serpihan.
Pihak berkuasa tempatan menganggarkan 395 orang terkorban setakat ini dan angka kematian mungkin meningkat.
Aktivis perubahan iklim tempatan menggesa pelaburan yang lebih besar untuk membantu komuniti lebih bersedia menghadapi kejutan cuaca. -REUTERS