fb fb fb fb fb

Pasukan pemeriksa menuju ke Iran jika rundingan ‘snapback’ berjaya - IAEA

Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi / Foto Reuters

NEW YORK, 24 September – Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi mengesahkan satu pasukan pemeriksa sedang dalam perjalanan ke Iran sekiranya Tehran dan kuasa-kuasa Eropah mencapai persetujuan minggu ini bagi mengelakkan penguatkuasaan semula sekatan antarabangsa.

Pertemuan antara Iran dan kuasa-kuasa Eropah pada Selasa bersetuju meneruskan rundingan terakhir bagi mengelakkan mekanisme ‘snapback’.

Rundingan tertumpu kepada tuntutan supaya Iran mengembalikan akses pemeriksa nuklear PBB ke fasiliti sensitif, menangani isu simpanan uranium diperkaya serta berbincang dengan Amerika Syarikat.

“Segalanya mungkin. Jika ada kemahuan, pasti ada jalan. Pemeriksa kami sudah bersedia, dan kerja ini boleh dimulakan bergantung kepada kemahuan politik Iran,” kata Grossi.

Dengan sekatan dijangka berkuat kuasa semula Sabtu ini, beliau berkata masa semakin suntuk namun perbincangan “intensif” masih berjalan antara Iran, Eropah, Amerika Syarikat dan IAEA.

Grossi sebelum ini bersetuju dengan beberapa langkah teknikal bersama Iran di Kaherah yang membuka laluan kepada pemeriksaan semula di tapak tertentu, namun tanpa garis masa jelas ia menimbulkan kritikan.

Beliau menambah kuasa-kuasa Eropah mahu melihat kemajuan nyata segera, termasuk laporan khas yang sedang disiapkan Tehran mengenai keadaan fasiliti nuklearnya. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN