NEW YORK, 24 September – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menyeru keamanan dunia ketika berucap pada pembukaan Sidang Agung PBB ke-80.
Beliau menegaskan terlalu banyak krisis terus berlarutan tanpa kawalan, termasuk konflik di Sudan, Ukraine dan Gaza, selain memberi amaran bahawa ketiadaan akauntabiliti hanya mempercepatkan keganasan dan meningkatkan risiko perlumbaan nuklear.
“Kita tidak boleh berputus asa. Demi keamanan, maruah, keadilan, kemanusiaan, demi dunia yang mungkin tercapai jika kita bersatu – saya tidak akan pernah berputus asa,” katanya.
Guterres turut menggesa kawal selia lebih ketat terhadap kecerdasan buatan (AI) serta pengabaian bahan api fosil.
Tema Sidang Agung kali ini ialah “Lebih Baik Bersama: 80 Tahun dan Seterusnya Demi Keamanan, Pembangunan dan Hak Asasi Manusia.” -REUTERS