fb fb fb fb fb

Ratusan nelayan tidak bekerja susulan tragedi minyak tumpah di Peru

LIMA, 16 April- Ratusan nelayan masih tidak bekerja susulan tragedi tumpahan minyak yang mencemarkan pantai dan membunuh hidupan liar di Peru, tiga bulan lalu.

“Kami tidak pernah membayangkan menghabiskan Paskah (Minggu Suci) yang menyedihkan kerana kebiasaannya orang ramai makan ikan pada masa ini,” kata Presiden persatuan nelayan tradisional tempatan, Anthony Chumpitaz,

Hampir 12,000 tong minyak mentah tumpah ke laut di Peru pada 15 Januari ketika sebuah kapal tangki memunggah minyak di kilang penapisan milik gergasi tenaga Sepanyol Repsol di Ventanilla, kira-kira 30 kilometer (20 batu) di utara Lima.

Dibawa arus laut, minyak itu tersebar kira-kira 140 kilometer ke utara, membunuh ratusan burung laut dan memaksa nelayan meninggalkan kerja mereka akibat pencemaran yang disifatkan sebagai bencana ekologi oleh kerajaan.

Sekurang-kurangnya 5,000 nelayan dan peniaga tradisional di Lima dan wilayah jiran Huaral telah terjejas oleh tumpahan itu, menurut kerajaan.

(Foto fail/AFP)

Banyak restoran ikan dan makanan laut terpaksa ditutup.

"Saya berasa marah. Saya tidak mempunyai kerja. Kami tidak bersedia untuk kejadian ini," Rocio Alonzo Espinar, 30, seorang peniaga ikan di Ventanilla.

Repsol, yang menyalahkan tumpahan itu disebabkan letusan gunung berapi 10,000 kilometer jauhnya berhampiran Tonga di Pasifik, telah bersetuju untuk membayar pampasan kepada nelayan dan pekedai.

Chumpitaz berkata mereka yang terjejas setakat ini hanya menerima bayaran sebanyak 500 sol (AS$125) pada Januari ditambah satu lagi bayaran pendahuluan sebanyak 3,000 sol. -AFP

Media Baharu