NEW YORK, 24 September – Presiden Perancis, Emmanuel Macron berkata Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump perlu menghentikan perang di Gaza sekiranya mahu meraih Hadiah Nobel Keamanan.
Bercakap kepada BFM TV ketika menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Macron menegaskan hanya Trump mampu menekan Israel kerana Amerika Syarikat membekalkan senjata yang digunakan dalam konflik itu.
“Saya melihat seorang presiden Amerika yang mahu keamanan dan bercita-cita meraih Hadiah Nobel Keamanan. Namun ia hanya mungkin dicapai jika perang Gaza dihentikan,” katanya.
Beberapa negara termasuk Israel, Pakistan dan Kemboja telah mencalonkan Trump kerana menjadi perantara perjanjian damai.
Bagaimanapun, dalam ucapannya di PBB, Trump mengecam langkah kuasa Barat mengiktiraf negara Palestin, dengan menyifatkan ia memberi ganjaran terhadap tindakan Hamas.
Trump menegaskan tumpuan seharusnya diberi kepada pembebasan tebusan yang masih ditahan di Gaza hampir dua tahun selepas serangan Hamas ke atas Israel.
Beliau dijadualkan bertemu pemimpin negara majoriti Islam termasuk Arab Saudi, Qatar, Mesir, Jordan, Turkiye, Indonesia dan Pakistan bagi membincangkan situasi di Gaza. -REUTERS