GAZA, 19 Mac- Penyiar Al-Jazeera berpangkalan di Qatar berkata tentera Israel telah memukul dan menahan korespondennya, Ismail Alghoul semasa serbuan ke atas hospital Al- Shifa semalam.
Saksi melaporkan serangan udara dan kereta kebal berhampiran hospital itu yang sesak dengan pesakit dan rakyat Palestin yang berlindung.
“Rangkaian Media Al-Jazeera menuntut wartawannya dibebaskan serta-merta dan wartawan lain yang ditahan bersamanya serta bertanggungjawab sepenuhnya kepada keselamatan mereka,” kata saluran itu dalam satu kenyataan kepada AFP.
“Ismail Alghoul telah ditangkap pagi ini di dalam Hospital Al-Shifa bersama beberapa wartawan ketika membuat liputan serangan tentera pendudukan Israel ke hospital itu. Menurut saksi mata, Ismail dipukul teruk dan dibawa ke lokasi yang tidak diketahui,” tambahnya.
Menurut Al- Jazeera, kenderaan penyiaran dengan kamera dan peralatan lain telah dimusnahkan berikutan penahanan itu.
Tentera Israel tidak memberi sebarang komen berhubung insiden itu.
Sumber Al-Jazeera memberitahu AFP bahawa lima lagi individu lain telah ditangkap termasuk kru kamera dan jurutera Alghoul.
Amerika Syarikat (AS), sekutu rapat Israel, berkata menyedari kejadian itu dan telah meminta kerajaan Israel untuk mendapatkan maklumat lanjut.
“Secara amnya, kami sangat jelas bahawa wartawan memainkan peranan penting dan tiada wartawan harus menjadi sasaran untuk menutup suara mereka dalam konflik ini atau yang lain,” kata jurucakap jabatan negara Vedant Patel kepada pemberita.
Bulan lalu rangkaian itu melaporkan Israel secara sistematik menyasarkan pekerja Al-Jazeera yang berkhidmat di Gaza.
Menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), setakat semalam, sekurang-kurangnya 95 wartawan dan pengamal media telah disahkan terbunuh dalam perang Israel-Hamas, di mana 90 daripada mereka adalah warga Palestin.
Dua wartawan Al-Jazeera telah terbunuh semasa perang Israel menentang Hamas di Gaza, manakala ketua biro Wael al-Dahdouh tercedera.
“Penyasaran ini berfungsi sebagai taktik intimidasi terhadap wartawan untuk menghalang mereka daripada melaporkan jenayah ngeri yang dilakukan oleh pasukan pendudukan terhadap orang awam yang tidak bersalah di Gaza.
“Penyasaran Ismail Alghoul adalah sebahagian daripada siri serangan sistematik terhadap Al-Jazeera oleh pihak berkuasa pendudukan,” kata saluran itu.
Israel melancarkan serangan udara dan darat tanpa henti di Semenanjung Gaza susulan serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu.yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang di Israel, kebanyakannya orang awam.
Manakala dalam serangan balas Israel pula, sekurang-kurangnya 31,726 orang maut setakat ini kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas.- AFP