fb fb fb fb fb

Menteri Palestin-Singapura adakan pertemuan, bincang konflik Gaza

Foto WAFA

RAMALLAH, 18 Mac- Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin, Riyad Al-Maliki mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan Singapura, Vivian Balakrishnan di ibu pejabat kementerian di bandar Ramallah.

Memetik agensi berita Palestin (WAFA), Al-Maliki berkata pertemuan berkenaan sebagai usaha menghentikan pembunuhan beramai-ramai rakyat Gaza di Palestin.

Al-Maliki menggesa keperluan mendesak untuk mempercepat kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.

"Saya menyeru agar campur tangan segera masyarakat antarabangsa supaya rakyat Palestin dapat dilindungi, sekali gus memastikan ketibaan keperluan kemanusiaan ke Gaza.

"Kegagalan Israel mematuhi resolusi legitimasi antarabangsa menunjukkan matlamat Israel untuk memindahkan rakyat kita dari tanah ini dan mengubah Gaza menjadi tempat yang tidak boleh didiami," kata Al-Maliki kepada WAFA.

Al-Maliki menggesa Israel mematuhi keputusan yang dikeluarkan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Beliau turut menambah bahawa gencatan senjata adalah satu-satunya cara untuk melindungi orang awam di Gaza.

Dalam pada itu, Balakrishnan menegaskan sokongan negaranya terhadap hak rakyat Palestin untuk menubuhkan negara merdeka mereka, mengikut prinsip penyelesaian kedua-dua negara.

Balakrishnan yang memuji hubungan dua hala antara Singapura-Palestin, menekankan komitmen negaranya untuk menyokong Palestin dalam pelbagai bidang kelak.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM