fb fb fb fb fb

Warga Jakarta sudah mula pulang ke kampung

JAKARTA, 28 April- Warga kota Jakarta mula pulang ke kampung halaman sejak semalam sempena sambutan Aidilfitri.

Jalan Tol Jakarta-Cikampek di Kilometer 47 arah Cikampek, Jawa Barat, kembali sesak dan padat dengan kenderaan awam sejak 8.30 pagi (waktu tempatan) hari ini.

Kompas melaporkan polis turut membuka laluan bertentangan bagi mengurangkan kesesakan.

Pemantauan yang dibuat mendapati kesesakan berpunca daripada pertembungan dua laluan dari Tol Layang Mohammed bin Zayed dengan kenderaan dari tol bahagian bawah laluan itu.

Tindakan pemandu yang meletakkan kenderaan di tepi jalan juga menjadi penyumbang kepada kesesakan teruk.

Ia memandangkan ada pemandu yang berhenti untuk menggunakan tandas awam di tepi laluan itu.

(Gambar Fail -AFP)

Tandas bergerak yang diletakkan di Tol Layang MBZ tidak memadai dengan pertambahan mendadak jumlah pengguna jalan raya itu sempena Lebaran.

Sebelum ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo bimbang berlakunya kesesakan kerana dijangka 40 juta kenderaan akan menggunakan jalan darat untuk pulang berhari raya.

Dianggarkan 23 juta kereta persendirian dan 17 juta motosikal akan menggunakan jalan utama di seluruh republik itu bermula 28 hingga 30 April ini.

Selama dua tahun, tiada perjalanan pulang ke kampung dibenarkan sempena Aidilfitri ekoran penularan COVID-19. -BERNAMA

Media Baharu