ISTANBUL, 24 September - Flotilla Sumud Global melaporkan pada Selasa kapal-kapalnya berdepan gangguan berulang di laut termasuk letupan, dron tidak dikenali serta gangguan komunikasi ketika konvoi kemanusiaan itu menuju ke Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kami percaya dron-dron ini bertujuan menakutkan selain berkemungkinan mengumpul maklumat risikan untuk Israel,” kata kumpulan itu dalam satu hantaran di Instagram.
Flotila itu kemudian menyifatkan insiden itu sebagai “operasi psikologi” untuk menakutkan peserta.
“Langkah-langkah yang diambil Israel dan sekutunya untuk melanjutkan kebuluran yang mengerikan dan genosid di Gaza amat menjijikkan.
Tetapi keteguhan kami lebih kuat daripada sebelumnya. Taktik ini tidak akan menghalang misi kami menghantar bantuan ke Gaza dan memecahkan sekatan haram,” kata kumpulan itu menerusi media sosial.
Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Francesca Albanese menggesa tindakan segera, memberi amaran menerusi X bahawa flotila itu “telah diserang tujuh kali dalam masa singkat,” termasuk bom bunyi, suar letupan, semburan kimia yang disyaki dan panggilan kecemasan yang disekat.
“Perhatian dan perlindungan antarabangsa segera diperlukan!” tulisnya.
Aktivis Yasemin Acar turut memuat naik video di X dengan berkata: “Serangan kesembilan. Kami diserang di perairan antarabangsa.” Dalam mesej berasingan dari kapal Alma di Instagram, beliau melaporkan “15 hingga 16 dron besar” berlegar di udara serta radio disekat.
Flotilla Sumud Global, yang dinamakan daripada perkataan Arab bermaksud “keteguhan,” terdiri daripada lebih 50 kapal membawa peserta dari pelbagai negara termasuk doktor, wartawan dan aktivis.
Inisiatif itu bertujuan mencabar sekatan Israel serta menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Pihak berkuasa Israel belum mengulas laporan terkini, walaupun flotila bantuan sebelum ini sering dipintas.
Serangan tentera Israel telah meragut lebih 65,000 nyawa rakyat Palestin di Gaza. Kempen itu memusnahkan wilayah berkenaan yang kini berdepan kebuluran. -BERNAMA-ANADOLU