fb fb fb fb fb

Warga China di Singapura digesa tidak terlibat dalam aktiviti perjudian

Kedutaan China di Singapura menggesa rakyatnya di Singapura supaya menjauhi semua bentuk pertaruhan, dimana perjudian di luar negara melanggar undang-undang China / Foto AFP

BEIJING, 18 Mac - Kedutaan China di Singapura pada Isnin menggesa rakyatnya di negara kota itu supaya menjauhi semua bentuk pertaruhan, dimana perjudian di luar negara melanggar undang-undang China.

Gesaan itu dibuat ketika Beijing mempergiatkan usahanya untuk membanteras warganya yang berjudi di seluruh Asia Tenggara.

Kedutaan China dalam satu kenyataan "dengan sungguh-sungguh mengingatkan" majoriti warga China di Singapura untuk meningkatkan kesedaran undang-undang dan menjauhi perjudian.

“Walaupun kasino di luar negara dibuka secara sah, perjudian rentas sempadan oleh warga China disyaki melanggar undang-undang negara kita,” sambil menambah bahawa kedutaan dan konsulat mungkin tidak dapat memberikan perlindungan konsular terhadap pelanggaran undang-undang tersebut.

China telah mempergiatkan tindakan kerasnya terhadap perjudian rentas sempadan, luar pesisir dan dalam talian, menghantar amaran serupa kepada beberapa negara ketika ia cuba membendung aktiviti dan ancaman haram ini kepada rakyat di luar negara.

“Perjudian rentas sempadan juga boleh membawa risiko seperti penipuan, pengubahan wang haram, penculikan, penahanan, pemerdagangan dan penyeludupan,” Tambah kedutaan itu.

Kedutaan China di Korea Selatan dan Sri Lanka juga mengeluarkan amaran yang sama baru-baru ini.

Pada 22 Februari, agensi penguatkuasaan undang-undang di China dan Filipina bekerjasama untuk menghantar pulang lebih 40 warga China yang terlibat dalam perjudian luar pesisir, menurut satu kenyataan daripada kedutaan China di Filipina.

“Kerajaan China sentiasa menentang sebarang bentuk perjudian dan menentang warga China meninggalkan negara ini untuk melibatkan diri dalam industri perjudian, kata kedutaan itu.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN