fb fb fb fb fb

Korea Utara lancar peluru berpandu balistik semasa lawatan Blinken ke Seoul

Orang ramai berjalan melintasi televisyen yang memaparkan siaran berita dengan rakaman ujian peluru berpandu Korea Utara di stesen kereta api di Seoul / Foto AFP

SEOUL, 18 Mac - Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik ke laut hari ini buat kali pertama dalam tempoh dua bulan, ketika Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken melawat Seoul untuk persidangan yang dihoskan oleh Presiden Yoon Suk-yeol mengenai demokrasi.

Tentera Korea Selatan berkata beberapa peluru berpandu jarak dekat ditembak dari wilayah selatan Pyongyang dan mendarat di timur semenanjung Korea.

Mereka tidak memberikan butiran lanjut dan berkata ia sedang berkongsi maklumat mengenai pelancaran itu dengan Amerika Syarikat dan Jepun.

Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengecam pelancaran itu selepas pengawal pantai negaranya juga melaporkan penembakan yang dikatakannya seolah-olah peluru berpandu balistik.

Jepun memaklumkan, bahawa ia telah mengesan apa yang kelihatan seperti pelancaran peluru berpandu balistik kedua oleh Utara dan kedua-duanya jatuh di luar kawasan zon ekonomi eksklusifnya.

“Siri tindakan Korea Utara mengancam keamanan dan keselamatan rantau kita dan masyarakat antarabangsa dan sama sekali tidak boleh diterima,” kata Kishida, menggelar pelancaran itu sebagai pelanggaran resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Tentera Korea Utara telah menjalankan latihan menggunakan senjata konvensional dalam beberapa minggu kebelakangan ini yang diawasi secara peribadi oleh pemimpin negara terpencil itu, Kim Jong-un.

Pertunjukan kekerasan oleh Pyongyang berlaku selepas tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat menamatkan 10 hari latihan ketenteraan tahunan bersama berskala besar pada Khamis lalu.

Blinken adalah antara pegawai kanan dari seluruh dunia yang menghadiri persidangan Sidang Kemuncak Demokrasi, yang diadakan pada Isnin.

Beliau turut akan bertemu rakan sejawatnya dari Korea Selatan, Menteri Luar Cho Tae-yul.

Sidang kemuncak itu merupakan inisiatif Presiden AS, Joe Biden yang bertujuan membincangkan bagaimana untuk menghentikan keruntuhan demokrasi dan penghakisan hak dan kebebasan di seluruh dunia.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN