KURSK, 6 Mac- Mahkamah Rusia pada Rabu menjatuhkan hukuman penjara 19 tahun ke atas seorang warga Britain, James Scott Rhys Anderson, 22, selepas didapati bersalah melakukan tindakan keganasan dan bertindak sebagai tentera upahan dalam serangan Kyiv ke atas wilayah sempadan Kursk, Rusia.
Menurut perkhidmatan media mahkamah Kursk, Anderson ditahan ketika bertempur di wilayah itu pada November lalu, selepas Ukraine melancarkan serangan rentas sempadan mengejut pada Ogos, serangan pertama oleh tentera asing ke atas wilayah Rusia sejak Perang Dunia Kedua.
Rakaman video menunjukkan Anderson, berpakaian seragam musim sejuk yang menyerupai pakaian penjara, digari dan dibawa masuk ke mahkamah. Dia hanya mengangguk tanpa bersuara apabila hukuman diterjemahkan kepadanya. Anderson diberi pilihan untuk memfailkan rayuan.
Anderson, berasal dari Banbury, England, sebelum ini tampil dalam beberapa video yang diterbitkan oleh pegawai Rusia selepas dia ditawan, mendakwa dia menyertai Legion Antarabangsa Ukraine selepas dipecat daripada tentera British.
Perbicaraan di Mahkamah Tentera Daerah Barat Kedua Kursk berlangsung selama tiga hari secara tertutup, menurut kenyataan mahkamah.
Rusia lazimnya menganggap warga asing yang berjuang untuk Ukraine sebagai tentera upahan dan mendakwa mereka bawah kanun jenayah negara itu, bukannya sebagai tawanan perang yang dilindungi oleh Konvensyen Geneva.
Pejabat Luar Negeri Britain mengecam hukuman tersebut yang disifatkan sebagai "berdasarkan tuduhan palsu" dan menuntut agar Anderson dilayan sebagai tawanan perang.
“Bawah undang-undang antarabangsa, Tawanan Perang tidak boleh didakwa kerana terlibat dalam permusuhan,” menurut kenyataan rasmi.
“Kami mendesak Rusia menghormati kewajipan ini, termasuk bawah Konvensyen Geneva, dan berhenti menggunakan tawanan perang untuk tujuan politik dan propaganda.”
Mahkamah memaklumkan Anderson mengaku bersalah dan mengakui menyertai konflik bersenjata demi ganjaran kewangan.
Dalam temu bual bersama akhbar Rusia, Izvestia, Anderson mendedahkan dia menerima bayaran sebanyak AS$400 (370 euro) sebulan dan kira-kira AS$60 sehari ketika bertugas dalam misi tempur.
Dia didakwa melakukan tindakan keganasan sebagai sebahagian daripada kumpulan yang terancang, dengan penyiasat mendakwa dia memasuki Rusia secara haram, menyebabkan kerosakan harta benda yang ketara, dan menggugat kestabilan pihak berkuasa tempatan.
Anderson akan menjalani lima tahun pertama hukumannya di penjara yang dikatakan mempunyai keadaan lebih keras berbanding koloni penal sebelum dipindahkan ke koloni penal dengan kawalan ketat bagi tempoh baki hukumannya.
Pada 2022, dua pejuang Britain dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah di timur Ukraine yang diduduki Rusia kerana bertempur untuk Ukraine, namun mereka kemudiannya dibebaskan melalui pertukaran tahanan.-AFP