fb fb fb fb fb

Kekurangan pili bomba, bekalan air terhad sukarkan usaha padam kebakaran besar di Lima

FOTO REUTERS

LIMA, 6 Mac- Ratusan anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran besar yang melanda beberapa bangunan di pusat bersejarah ibu negara Peru, Lima, untuk hari kedua berturut-turut, Rabu.

Kebakaran itu bermula Isnin lalu di sebuah gudang yang beroperasi tanpa permit di daerah Barrios Altos sebelum merebak ke bangunan bersebelahan, mengakibatkan empat daripadanya runtuh, menurut perkhidmatan bomba dan media tempatan.

Ketua bomba bandar, Carlos Malpica, memaklumkan kepada pemberita bahawa kekurangan pili bomba serta bekalan air yang terhad menyukarkan usaha memadam kebakaran dan api dijangka berterusan sehingga Ahad ini.

Beberapa keluarga turut dipindahkan dari kediaman berhampiran, dengan ramai dilihat menyelamatkan barangan seperti peti sejuk, kerusi, dan tilam.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun menurut pegawai majlis perbandaran, Mario Casaretto, sekurang-kurangnya 12 keluarga mengalami kerosakan harta benda.

Penduduk setempat juga dinasihatkan memakai pelitup muka berikutan asap beracun tebal yang boleh dilihat dari jarak beberapa kilometer.

Malpica menjelaskan, anggota bomba memerlukan bekalan air lapan hingga sepuluh kali ganda lebih banyak berbanding apa yang mampu disalurkan oleh pili bomba sedia ada.

Bagi mengatasi kekurangan itu, tangki air mudah alih dibawa ke lokasi dan diisi menggunakan lori tangki, namun usaha tersebut masih belum mencukupi.

Pihak majlis perbandaran mengesahkan bahawa bangunan tempat kebakaran bermula, termasuk beberapa bangunan lain yang turut terbakar, telah diubah suai menjadi gudang tanpa mendapatkan permit yang sah.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE