SYDNEY, 6 Mac- Menteri Luar New Zealand, Winston Peters, mengumumkan beliau telah memecat Duta Besar negara itu ke United Kingdom selepas duta tersebut membuat kenyataan yang dilihat sebagai mengkritik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Phil Goff membuat kenyataan tersebut dalam satu forum di London pada Selasa, di mana beliau membandingkan usaha Trump untuk memperbaiki hubungan dengan Rusia dengan tindakan pemimpin perang Britain, Winston Churchill, yang berjuang menentang Nazi Jerman.
"Presiden Trump telah mengembalikan patung Churchill ke Pejabat Oval. Tetapi adakah anda fikir beliau benar-benar memahami sejarah?" soal Goff semasa sesi panel bersama Menteri Luar Finland, Elina Valtonen.
Peters dalam satu kenyataan pada Khamis menyifatkan kenyataan Goff sebagai amat mengecewakan.
"Kenyataan tersebut tidak mencerminkan pendirian Kerajaan New Zealand dan menjadikan kedudukannya sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke London tidak lagi boleh dipertahankan," katanya.
Menurut Peters, Bede Corry, pegawai tertinggi kerajaan New Zealand dalam kementerian luar, sedang bekerjasama dengan Goff bagi menguruskan peralihan kepada duta baharu.
Goff, bekas Menteri Luar dan ahli parlimen dari Parti Buruh berhaluan kiri, telah dilantik sebagai duta ke UK pada tahun 2023.
Peters kini mengetuai parti populis NZ First dalam kerajaan gabungan berhaluan kanan yang mentadbir New Zealand.-REUTERS