fb fb fb fb fb

Amaran akhir Trump kepada Hamas: Bebaskan tebusan atau Gaza dimusnahkan!

Presiden AS, Donald Trump / AFP

WASHINGTON, 6 Mac- Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Rabu mengancam kemusnahan lebih dahsyat ke atas Gaza sekiranya semua tebusan yang masih ditahan tidak dibebaskan serta-merta, sambil memberi amaran terakhir kepada pemimpin Hamas supaya melarikan diri.

Trump, yang terus menyatakan sokongan kuat terhadap Israel ketika gencatan senjata semakin goyah, menegaskan bahawa beliau menghantar segala keperluan kepada Israel untuk menyelesaikan misi mereka, selari dengan tindakan pentadbirannya mempercepatkan penghantaran bantuan ketenteraan bernilai berbilion dolar.

“Bebaskan semua tebusan sekarang, bukan nanti dan serahkan segera mayat-mayat mereka yang telah kamu bunuh, jika tidak, segalanya akan berakhir untuk kamu,” tulis Trump di platform Truth Social selepas bertemu dengan tebusan yang telah dibebaskan.

“Inilah amaran terakhir kamu! Kepada kepimpinan Hamas, inilah masanya untuk tinggalkan Gaza, selagi masih ada peluang,” tambahnya.

Beliau turut memberi peringatan bahawa Gaza secara keseluruhannya akan menanggung akibat, memandangkan hampir keseluruhan penduduknya telah menjadi pelarian akibat kempen ketenteraan tanpa henti oleh Israel sejak Oktober 2023.

“Kepada rakyat Gaza: Masa depan yang indah menanti, tetapi bukan jika kamu terus menahan tebusan. Jika ya, kamu akan mati!” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan amaran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang memberi amaran kepada Hamas mengenai akibat yang tidak terjangkau jika kumpulan itu tidak membebaskan tebusan yang masih ditahan.

Fasa pertama gencatan senjata tamat hujung minggu lalu selepas enam minggu ketenangan relatif, yang menyaksikan pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin yang dipenjara di Israel.

Israel sebelum ini menyatakan hasrat untuk melanjutkan fasa pertama sehingga pertengahan April, namun Hamas bertegas agar ia beralih ke fasa kedua, yang sepatutnya membawa kepada pengakhiran perang secara kekal.

Bagaimanapun, Israel meningkatkan tekanan bukan sahaja melalui ancaman, malah dengan menyekat kemasukan barangan dan bekalan ke Gaza satu pendekatan keras yang pernah dikritik oleh pentadbiran AS terdahulu di bawah Joe Biden.

Ketua Turus Angkatan Tentera Israel yang baharu, Eyal Zamir, pada Rabu berkata, "Hamas sememangnya telah menerima tamparan hebat, tetapi mereka masih belum dikalahkan. Misi ini masih belum selesai."

Sementara itu, Perancis, Britain dan Jerman secara bersama menyigatkan keadaan kemanusiaan di Gaza sebagai "katastrofik", serta menggesa Israel untuk memastikan penghantaran bantuan dapat dilakukan tanpa sebarang halangan.

Afrika Selatan pula menyifatkan tindakan Israel menyekat bantuan ke Gaza sejak hujung minggu lalu sebagai menggunakan kebuluran sebagai senjata peperangan.

Akui AS Adakan Perbincangan Langsung Dengan Hamas, Fokus Pembebasan Tebusan

Kenyataan keras Donald Trump hadir selepas Amerika Syarikat mengesahkan rundingan langsung yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan Hamas, melibatkan utusan khas AS bagi urusan tebusan, Adam Boehler, yang membincangkan nasib tebusan warga Amerika.

Jurucakap White House, Karoline Leavitt, berkata Presiden AS percaya bahawa "berdialog dan bercakap dengan sesiapa sahaja di seluruh dunia demi kepentingan rakyat Amerika adalah sesuatu yang wajar."

Sejak mengharamkan Hamas sebagai organisasi pengganas pada 1997, AS enggan mengadakan hubungan langsung dengan kumpulan itu. Bagaimanapun, Leavitt menjelaskan bahawa utusan khas tebusan mempunyai kuasa untuk berbincang dengan sesiapa sahaja dalam menjalankan tugasnya.

White House dan pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, turut mengesahkan bahawa Israel telah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perbincangan tersebut.

Lima warga Amerika dipercayai masih menjadi tebusan di Gaza, empat daripadanya disahkan maut, manakala seorang lagi, Edan Alexander, dipercayai masih hidup.

Serangan tentera Israel ke atas Gaza telah meragut sekurang-kurangnya 48,440 nyawa sebahagian besarnya membabitkan orang awam.

Daripada 251 individu yang diculik semasa serangan Hamas, 58 masih ditahan di Gaza, termasuk 34 yang disahkan telah mati oleh tentera Israel.

Trump Cadang Ambil Alih Gaza, Rancangan Dikecam Antarabangsa

Donald Trump mencetuskan kontroversi selepas mengemukakan cadangan untuk mengambil alih Semenanjung Gaza dan memindahkan penduduknya, satu idea yang menerima kecaman meluas di peringkat antarabangsa.

Sebagai tindak balas, pemimpin-pemimpin Arab mengusulkan pelan alternatif yang bertujuan membiayai pembinaan semula Gaza melalui dana amanah.

Draf pelan itu, menggariskan rancangan lima tahun dengan kos dianggarkan mencecah AS$53 bilion, selari dengan anggaran Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi pemulihan Gaza, namun jumlah tersebut tidak dimasukkan dalam kenyataan akhir sidang kemuncak tersebut.

Sidang kemuncak itu turut menyeru agar wujudnya satu wakil bersatu di bawah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) bagi mengenepikan pengaruh kumpulan Islamis Hamas.

Hugh Lovatt, Felo Kanan Dasar di Majlis Hubungan Luar Eropah, menyifatkan rancangan baharu itu sebagai jauh lebih realistik untuk dilaksanakan berbanding cadangan Trump.

Namun, Ghassan Khatib, penganalisis politik Palestin dan bekas menteri Pihak Berkuasa Palestin, meragui kebolehlaksanaan pelan tersebut, memetik kekurangan butiran berhubung sumber pembiayaan serta halangan politik yang bakal dihadapi.

“Tidak masuk akal untuk mengharapkan Israel meninggalkan rancangan Trump dan menerima pelan yang dikemukakan oleh negara-negara Arab. Ia mustahil berlaku,” katanya.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE