JAKARTA, 5 Mac- Pihak berkuasa Indonesia mula melaksanakan pembenihan awan untuk mengurangkan kesan hujan lebat yang menyebabkan banjir di sekitar ibu kota Jakarta.
Menurut pihak berkuasa langkah awal dengan pembenihan awan untuk mendorong hujan dari kawasan yang terjejas banjir atau menarik hujan dari awan kecil untuk mengelakkan hujan lebat.
Pihak berkuasa menjangkakan cuaca buruk itu berterusan sehingga 11 Mac.
"Mudah-mudahan dengan pengubahsuaian cuaca ini, kami dapat mengurangkan keadaan ini," kata Ketua Agensi Cuaca Indonesia, Dwikorita Karnawati kepada media.
"Kami tidak boleh menghalang hujan, itu mustahil, tetapi kami boleh mengurangkan hujan.
Pembenihan awan menggunakan pesawat akan berlangsung sehingga Sabtu dan memberi tumpuan kepada kawasan pergunungan di wilayah Jawa Barat, lokasi hujan lebat boleh mengalir ke bandar-bandar berdekatan termasuk Jakarta.
"Kami tidak boleh membiarkan awan menjadi terlalu besar, jadi kami akan membiarkan hujan turun sedikit demi sedikit," kata Dwikorita.
Kejadian banjir itu turut mengakibatkan lebih 2,000 penduduk dipindahkan dan seorang seorang kanak-kanak terkorban.
Pasukan penyelamat menggunakan bot getah bagi membantu memindahkan penduduk di kawasan terjejas atau membantu mereka yang enggan meninggalkan rumah. Terdapat juga penduduk menaiki bumbung atau menggunakan tali untuk menyelamatkan diri ke tempat yang lebih selamat.
Hujan lebat yang bermula Isnin lalu melanda Jakarta, yang dihuni oleh sekitar 11 juta penduduk, serta bandar satelit yang berdekatan seperti Bogor, Bekasi, dan Tangerang.
Hujan lebat menyebabkan beberapa sungai melimpah, mendorong paras air naik sehingga tiga meter (9.8 kaki) dan lebih 1,000 buah rumah tenggelam.
Pada tahun 2020, hujan lebat menyebabkan banjir dan tanah runtuh yang meragut hampir 70 nyawa di Jakarta, sementara ribuan lagi terpaksa dipindahkan ke tempat perlindungan.-AFP