ISTANBUL, 5 Mac- Sidang Kemuncak Tergempar Arab di Kaherah pada Selasa menerima pakai rancangan pembinaan semula Gaza bagi membangunkan kembali wilayah itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kenyataan akhir sidang kemuncak menetapkan bahawa pelan dikemukakan oleh Mesir dengan penyelarasan penuh Negara Palestin dan negara-negara Arab, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Bank Dunia serta Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pemulihan awal dan pembinaan semula Gaza sebagai satu rancangan komprehensif Arab.
Kenyataan itu turut menegaskan penolakan terhadap sebarang usaha untuk memindahkan penduduk Palestin dari tanah mereka “atas apa jua alasan atau dalam apa jua keadaan.”
Sidang Kemuncak Arab itu juga memaklumkan bahawa satu jawatankuasa undang-undang Arab ditugaskan untuk mengkaji klasifikasi pemindahan penduduk Palestin sebagai sebahagian daripada jenayah genosid.
Kenyataan itu mengecam keputusan terbaharu Israel untuk menghentikan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menutup laluan yang digunakan bagi bantuan, sambil menegaskan bahawa tindakan itu merupakan “pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata, undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.”
Ia turut menyuarakan penolakan terhadap pelaksanaan sekatan dan kebuluran oleh Israel sebagai “alat untuk mencapai matlamat politik.”- BERNAMA-ANADOLU